Ekonomi

4,142 Usahawan PKS ditawar bantuan bersasar SRP Pemulih SME Bank

Dengan jumlah nilai pembiayaan sebanyak RM5.8 Bilion

SME Bank sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menawarkan bantuan bersasar SME Relief Program PEMULIH (SRP PEMULIH) bermula Julai 2021 sehingga Disember 2021 kepada 4,142 orang pelanggan untuk pembiayaan bernilai RM5.8 bil dengan fasa dua ditumpukan kepada usahawan PKS sektor pelancongan dan pengangkutan awam yang mendapat lanjutan moratorium selama 12 bulan iaitu dari Oktober 2021 sehingga September 2022 dan lanjutan tempoh pembiayaan asal sehingga 36 bulan. Bantuan ditawarkan dalam bentuk penangguhan ke atas bayaran prinsipal dan kadar keuntungan pembiayaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar berkata,”SME Bank telah mula menawarkan SRP 1.0 setelah tempoh moratorium automatik enam bulan tamat tahun lalu. Seramai 3,084 orang pelanggan SME Bank telah menerima tawaran bantuan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.1 bilion. Selepas itu, SME Bank menawarkan SRP 2.0 yang bermula dari Oktober 2020 sehingga September 2021 sebagai langkah sokongan berterusan untuk pelanggannya.

Bantuan bersasar ini telah memanfaatkan seramai 311 orang pelanggan dengan nilai pembiayaan RM248 juta daripada sektor peruncitan, perkhidmatan, makanan dan minuman serta pengangkutan awam. Bantuan SRP ini merupakan bantuan untuk membolehkan usahawan PKS memberi fokus terhadap membangunkan semula perniagaan tanpa bebanan aliran tunai.

Tambah Tan Sri Noh, “Selain dari SRP dan selari dengan inisiatif Kerajaan untuk membantu usahawan PKS, SME Bank telah meluluskan pembiayaan untuk Special Relief Fund (SRF) sebanyak RM506.3 juta, Penjana Tourism Fund (PTF) sebanyak RM7.7 juta dan Targeted Relief and Recovery Facility (TRRF) sebanyak RM255.7 juta.  Pembiayaan ini telah membantu 1,798 orang usahawan PKS.”

Sementara itu, berdasarkan mandat untuk membimbing dan membangunkan usahawan PKS negara, SME Bank turut memainkan peranan “Beyond Financing.” Sebagai contoh, SME Bank memberi pengecualian bayaran sewa 100% selama tujuh bulan lagi bermula dari Jun 2021 hingga Disember 2021 kepada 251 orang penyewa di 373 lot kilang di Kompleks Premis Usahawan milik SME Bank. Langkah ini telah memberikan penjimatan kos berjumlah RM6.6 juta kepada para penyewa.  Untuk rekod, dari bulan April 2020 hingga Mac 2021, penangguhan dan potongan yang diberikan kepada penyewa adalah bernilai RM6.1 juta.

Agenda pembangunan PKS SME Bank diteruskan dengan pelbagai aktiviti.  Ini termasuk program libat urus, Let’s XCESS SME Bank bersama usahawan PKS yang sedang diadakan secara hybrid di seluruh negara, Business Exports Program (BEP) dengan kerjasama pelbagai agensi, Program Upward Migration, Program TITAN yang bermatlamat mencipta usahawan PKS berstatus global, program Realiti TV SUKSES 4.0, program-program CSR seperti Y-Biz Challenge, 90-Days Biz Challenge, Penjana Komuniti@SME Bank dan ISHRAF untuk golongan Asnaf yang menjalankan perniagaan bersaiz mikro dan lain-lain.

Majlis Penyerahan Surat Penerimaan SRP PEMULIH Fasa ke-2 kepada sepuluh orang pelanggan SME Bank daripada sektor pelancongan dan pengangkutan awam hari ini telah disampaikan oleh Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar. Turut hadir ialah Timbalan Menteri MEDAC, Yang Berhormat Muslimin Yahaya, Ketua Setiausaha MEDAC, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato’ Asri Hamidon, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, dan Pengerusi SME Bank, Dato’ Seri Nazir Ariff. – SM

(Visited 531 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button