
Amang seksual: Hukuman penjara PU Azman dikurangkan kepada 12 tahun
KLANG: Pendakwah selebriti, PU Azman bernasib baik apabila dikenakan hukuman penjara 12 tahun berbanding 24 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen di sini, atas dua kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada tiga tahun lalu.
PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias dikenakan hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, membenarkan rayuannya supaya dua hukuman bagi dua kes itu berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum, 27 September 2024.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua sebatan terhadap Azman, 44.
Semasa prosiding, Hakim, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim berkata, mahkamah mendapati, kes pendakwaan dan bela diri membabitkan Azman selaku perayu, dibicarakan secara bersama.
“Ia turut melibatkan saksi dan kejadian yang sama, oleh itu hukuman yang dijatuhkan, perlu dijalankan secara berturutan.
“Jadi, saya membenarkan rayuan agar hukuman berjalan serentak menjadikannya penjara selama 12 tahun manakala dua sebatan, dikekalkan,” kata Hakim itu.
Mengikut dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Selesai prosiding, peguam, Fahmi Adilah yang mewakili Azman berkata, pembelaan telah memfailkan rayuan agar hukuman penjara masing-masing 12 tahun yang dijalankan berasingan, dapat dibuat secara serentak.
Menurutnya, kes ini melibatkan satu kes namun dipecahkan kepada dua pertuduhan kerana kejadian berlaku pada masa yang berbeza.
“Memandangkan kes dihadapi ialah melibatkan mangsa dan saksi yang sama, maka saya percaya tiada sebarang niat untuk melengah-lengahkan prosiding.
“Justeru, mengambil kira faktor tersebut, mahkamah ini wajar untuk masuk campur dan mengubah keputusan berkenaan,” katanya yang hadir bersama peguam, Mohamad Zahid Ahmad.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Najiha Tingku Zahari memohon mahkamah menolak permohonan perayu dengan alasan dapatan mahkamah rendah ialah tepat dan tidak melampau.
Menurutnya, mahkamah perlu mengambil kira peranan tertuduh dalam masyarakat sebagai seorang pendakwah, usia mangsa semasa kejadian dan hubungan mereka berdua.
“Kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu itu sendiri, malah masyarakat menanti dan melihat perkembangan kes-kes sebegini.
“Berkaitan kesan penjara 24 tahun kepada perayu dan akan keluar pada umur 60 atau 70 tahun, ia bukan satu ukuran.
“Perkara yang penting ialah trauma kepada pengadu itu berbanding impak pemenjaraan kepada perayu itu,” katanya.
Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi Azman hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki ketika kejadian berusia 17 tahun, pada 2022 lalu.
Hakim, Noridah Adam memerintahkan pendakwah selebriti itu menjalani hukuman di Penjara Kajang serta-merta, selepas menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
Pada 26 Disember 2023, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja itu di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain kes ini, Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man dihukum penjara enam tahun dan satu sebatan, selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen sama, atas satu kes lain, terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pada lapan tahun lalu.
Mahkamah Sesyen Seremban turut menjatuhinya hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, atas kes seksual lain.