Uncategorized

UniMAP perkasa penerapan kemahiran insaniah – Raja Muda Perlis

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memperkasakan penerapan kemahiran insaniah yakni ‘soft skills’ dalam kalangan mahasiswanya bagi melahirkan graduan yang ‘marketable’ dan ‘multitasking’.

Graduan UniMAP juga akan terus diberi bimbingan supaya kompeten bagi memenuhi pasaran kerja dalam mahupun luar negara, tambahan lagi dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang semakin rancak.

Pada masa yang sama ruang kerjasama di antara UniMAP dan institusi teknikal serta industri akan dimantapkan lagi.

Pada peringkat pendidikan tinggi, ia berkisar kepada pembangunan bakat serta bidang teknologi baharu, digital dan kejuruteraan bertujuan mempersiapkan graduan untuk pasaran kerja dalam pengeluaran pintar. Perkongsian strategik bidang kepakaran, fasiliti dan kemajuan teknologi antara UniMAP dan industri mahupun institusi teknikal mampu menjanjikan imbuhan terbaik yang mendukung hala tuju pembangunan industri negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP selepas berkenan berangkat menyertai program ‘Kayuhan Berbasikal Bersama Tuanku Canselor 2020’ sejauh 12km yang bermula dan berakhir di perkarangan Kampus UniMAP di Kubang Gajah, Arau pagi semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Raja Datuk Azwane Raja Ariff dan Naib Canselor, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad.

Turut hadir ialah Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Program ini adalah anjuran UniMAP dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan disekalikan dengan acara pembuka tirai ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan 1 bagi tahun 2020. Seramai 300 asnaf terpilih menerima sumbangan agihan zakat MAIPs daripada baginda di program tersebut ketika singgah di Masjid As Syakirin, Kariah Oran, Mata Ayer.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut percaya bahawa persatuan alumni universiti akan bergerak aktif supaya mampu membantu memberikan impak yang besar kepada para ‘juniors’ disamping menaikkan lagi nama UniMAP.

Sumbangan bakti oleh alumni akan secara tidak langsung memupuk semangat ‘cintakan universiti’ bagi menarik kembali mereka dalam sama-sama membantu UniMAP terutama ketika berdepan cabaran.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button