Politik

Amanah yang semakin popular sebagai parti politik

PARTI Amanah Negara (Amanah) kini sudah mempunyai kira-kira 200,000 ahli berdaftar di seluruh negara, kata presidennya, Mohamad Sabu.

Katanya, jumlah berkenaan memperlihatkan populariti Amanah sebagai sebuah parti politik telah meningkat dan berjaya mendapat tempat di hati rakyat.

“Populariti Amanah semakin meningkat. Jumlah ahli Amanah paling tinggi di Pasir Mas dan Pengkalan Chepa di Kelantan. Kita akui pengurusan untuk menubuhkan cawangan agak perlahan kerana pertambahan ahli ini berlaku secara mendadak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Pidato Presiden pada Konvensyen Amanah 2019, di sini, hari ini.

Turut hadir pada konvensyen kali keempat itu adalah barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari, Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai ucapannya yang mengatakan Amanah menolak politik kotor antaranya seperti ‘cah keting’ dan ‘chai’ dalam pemilihan Jawatankuasa Pengurusan Nasional yang berlangsung pada konvensyen ini, Mohamad berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Lembaga Tatatertib parti untuk menyiasat sebarang aduan jika ia berlaku.

“Kita ada jawatankuasa lembaga tatatertib jika ada aduan yang melanggar peraturan yang digariskan dalam perlembagaan parti maka jawatankuasa ini boleh mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.

Sebanyak 31 jawatan dipertandingkan antaranya jawatan speaker, timbalan speaker, juruaudit dan Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Ditanya mengenai keengganan ahli Parlimen Barisan Nasional dan PAS untuk membuat pengisytiharan harta, Mohamad, yang juga merupakan Menteri Pertahanan, berkata tindakan berkenaan adalah dianggap melanggar keputusan yang dibuat oleh Parlimen.

“Itu satu perkara yang tidak baik, mengapa mereka takut dan tidak mahu mengisytiharkan harta. Ini perkara yang pelik dan rakyat boleh menilai tindakan ahli Parlimen ini,” katanya.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lepas sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta mereka serta isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun itu perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh asal usul terbabit dan salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – BERNAMA

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button