fbpx
Politik

Amanah Labuan bubar, seluruh jentera parti letak jawatan

Seluruh jentera Parti Amanah Negara (Amanah) Bahagian Labuan mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.

Bernama melaporkan, kerenah birokrasi dan layanan tidak adil oleh pemimpin parti pusat sebagai alasan utama jentera Amanah mengambil keputusan itu.

Peletakan jawatan secara mengejut itu turut melibatkan sayap Wanita dan Pemuda dan 33 pemimpin cawangan bersama-sama ahli jawatankuasa mereka, yang membawa kepada pembubaran Amanah Bahagian Labuan.

Amanah melebarkan sayapnya di Labuan pada 2018 dan mengadakan pemilihan pertama pada Februari 2019.

Chemat Mustapha, yang sebelum ini mengetuai bahagian itu berkata, peletakan jawatan itu disebabkan pemimpin parti pusat kurang memberi tumpuan pada Amanah Bahagian Labuan.


“Kami telah hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan Amanah dalam mengendalikan isu-isu dalaman parti dan juga disebabkan perebutan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini berhubung jawatan perdana menteri.

“Kami sudah tidak yakin dengan masa depan Amanah dan perjuangannya untuk membela rakyat,” katanya pada sidang media di Labuan, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button