Nasional

Amalkan sikap ‘tabayun’, menyelidiki dan ‘turun padang’ – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menitahkan bahawa sikap ‘tabayun’, menyelidiki dan ‘turun padang’ amat penting dalam memastikan sesuatu keputusan yang dibuat menepati keperluan.

Di kesempatan yang sama baginda menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi termasuk pihak korporat dari dalam dan juga luar Perlis serta individu yang menjayakan agenda kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli’ yang dipelopori baginda sejak tahun 2013 sehingga ke hari ini sebagai platform untuk mendekati rakyat yang dikasihi.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mei baru-baru ini dan disusuli dengan tempoh ‘total lockdown’ yang berkuatkuasa sekarang, program rutin baginda bersama MAIPs dan pelbagai agensi bagi membantu meringankan bebanan hidup yang dihadapi golongan asnaf telah terpaksa ditangguhkan sehingga aktiviti berkenaan kembali dibenarkan oleh pihak berkuasa kelak.

Demikian titah perutusan baginda bersempena sambutan ‘Hari Basikal Sedunia’ yang disambut pada setiap 3 Jun.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa sehingga sebelum PKP tahun ini sahaja Tuanku Raja Muda sendiri telah berkenan berangkat mengetuai sebanyak 31 kali program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli’ bagi menjejaki dan menyantuni golongan asnaf di segenap pelusuk negeri ini.

Tambah Mohd Nazim, ‘Sejak 2013 sehingga 31 Disember 2020 yang lalu sahaja sejumlah RM21,826,200 telah disumbangkan oleh MAIPs kepada golongan asnaf melalui 644 kali sesi kayuhan berkenaan. Walaupun Covid-19 melanda pada sebahagian besar tahun 2020 yang lalu, namun sebanyak 80 kali program tersebut masih berjaya dilaksanakan.

Untuk rekod, ‘Hari Basikal Sedunia’ disambut bagi mengiktiraf ciri-ciri unik pada basikal, keserbabolehannya serta bersifat sepanjang zaman di mana basikal telahpun digunakan secara meluas selama dua abad lamanya. Berdasarkan anggaran sebahagian pihak, terdapat lebih daripada 2 billion basikal yang telah digunakan di seluruh dunia. Menjelang tahun 2050, angka berkenaan boleh mencecah sehingga 5 billion. Di Finland sahaja, sebanyak 60% daripada populasi negara tersebut menggunakan basikal manakala di Belanda mereka memegang rekod sebagai negara yang mempunyai bilangan basikal per kapita tertinggi di dunia.

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button