Alam Sekitar

Amalan kitar semula bermula di rumah

 

Masyarakat perlu melipatgandakan amalan kitar semula dengan mengasingkan barangan yang telah dikumpul mengikut kategori. Antara kategori barang yang boleh dikitar semula adalah plastik iaitu dengan mengikut kod kategori plastik seperti PET (botol air mineral dan minuman serta botol minyak masak). Manakala bagi kod HDPE adalah botol sabun pencuci. Selain itu, bagi kod PP adalah bekas simpanan makanan. Bagi kategori kertas pula adalah seperti kertas hitam putih, majalah, surat khabar dan kotak. Selain itu, sisa seperti tin, tin aluminium, besi, minyak masak terpakai, sisa fabrik serta sisa elektronik juga merupakan sisa yang boleh dikitar semula.

Menurut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, barangan kitar semula yang telah dikumpulkan boleh dijual di pusat-pusat kitar semula yang berhampiran untuk menjana pendapatan. Hal ini secara tidak langsung boleh memberi pendapatan tambahan disamping membudayakan kitar semula dikalangan masyarakat.

Demikian titah perutusan baginda merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis selepas dipersembahmaklumkan mengenai status terkini kerja-kerja mengecat Fasa Ke-3 Pelaksanaan ‘Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis’ yang dikemudikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis melibatkan lebih 70 buah rumah lagi sepanjang kawasan lorong jajaran luar kampung berkenaan yang dilaksanakan sendiri oleh masyarakat setempat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 sejak kira-kira sebulan yang lalu.

Taklimat dipersembahkan kepada baginda melalui atas talian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri, Shamsuharizal Basir yang meninjau kawasan tersebut pada pagi semalam pula menerangkan bahawa, pihak SWCorp telah melaksanakan pelbagai program dan kempen membudayakan amalan kitar semula kepada masyarakat di Perlis antaranya seperti Program Trash To Cash iaitu sampah menjana pendapatan.

Disamping itu, SWCorp turut menyediakan fasiliti Pusat Kitar Semula iaitu Drive-thru Recycle Centre (DTRC) yang bertempat di Pasar Besar Sena, Kangar yang beroperasi pada hari isnin hingga sabtu. Pusat DTRC ini juga tetap beroperasi dalam tempoh pelaksanaan PKP. Tambah beliau, DTRC ini bertujuan untuk memudahkan masyarakat untuk menjual barangan kitar semula secara pandu lalu. Mengikut data jualan barangan kitar semula di DTRC sepanjang pengoperasian adalah sebanyak 23 tan. Ini menunjukkan bahawa rakyat Negeri Perlis semakin mempunyai kesedaran dalam mengamalkan budaya kitar semula dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Tuanku Raja Muda bertitah amat berharap supaya masyarakat setempat di Kampung Seberang Ramai akan terus menerus menjaga kebersihan kawasan persekitaran rumah serta tempat awam masing-masing, memotong rumput dan lalang supaya sentiasa rapi, selain memastikan kawasan yang telah diperindah tidak dirosakkan dengan perbuatan “vandalisme”.

(Visited 2,750 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button