Nasional

MAIPs baik pulih rumah mangsa kebakaran

“Saya amat bersyukur apabila dimaklumkan bahawa rumah ibu saya yang terbakar empat hari lalu akan dibaikpulih sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Syukur semuanya selamat.”

Perasaan itu dikongsikan Hasemoh binti Man, 57, mangsa kebakaran di Kampung Abi Tengah Kangar pada kira-kira jam 9.35 pagi pada 8 Disember baru-baru ini.

Katanya, beliau bersama Ibu, Som Talib, 83, dan anak lelakinya, Ku Shahrul Nizam Ku Johari, 22 berada di rumah ketika kejadian berlaku yang memusnahkan sebahagian besar rumahnya dalam kebakaran tersebut.

Walaubagaimanapun, beliau sekeluarga berasa amat terharu menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang amat prihatin dengan hal ehwal rakyat jelata yang berkenan berangkat meninjau tempat kejadian dan seterusnya menghulurkan sumbangan tunai MAIPs bagi meringankan beban beliau sekeluarga.

Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tambah menggembirakan mereka apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis turut berkenan menyampaikan berita kesediaan MAIPs bagi membaik pulih sepenuhnya rumah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor ketika ditemui berkata, pihaknya akan berusaha mempercepatkan tindakan pembaikan rumah berkenaan.

“Melihat kepada keadaan mangsa sekeluarga, MAIPs akan menyegerakan tindakan perlu bagi membaiki rumah berkenaan. Perbincangan untuk melaksanakan gotong-royong membersihkan tapak rumah yang musnah dijilat api akan dilaksanakan,” katanya.

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button