Nasional

Menteri Perbandaran Qatar Sambut Ketibaan Ismail Sabri Untuk Lawatan Kerja

DOHA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke Qatar.

Pesawat membawa Perdana Menteri selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada jam 3 petang waktu tempatan.

Ketibaan beliau di Terminal Diraja disambut Menteri Pengiring iaitu Menteri Perbandaran Qatar, Dr Abdullah bin Abdulaziz bin Turki Al-Subaie.

Turut serta menyambut ketibaab beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.

Perdana Menteri kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat dibarisi Pengawal Istiadat Amiri serta menaiki kenderaan khas.

Esok, Perdana Menteri dijadual melawat Ladang Baladna, iaitu antara ladang ternakan lembu terbesar di rantau itu yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Doha untuk menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara PR1MA dan Lembaga Pelaburan Qatar.

Beliau juga dijadual menghadiri sesi libat urus dengan komuniti perniagaan serta Keluarga Malaysia di Doha.

Pada Selasa pula, Perdana Menteri akan melakukan kunjungan hormat ke atas Emir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di Amiri Diwan.

Memperkukuh kerjasama Malaysia-Qatar yang terjalin sejak sekian lama antara agenda utama dan kedua-dua pemimpin dijangka mencarta jalan ke arah kolaborasi ekonomi serta usaha pemulihan pasca pandemik, selain bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia pada 21 Ogos tahun lalu. – BERNAMA

(Visited 375 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button