fbpx
Sukan

Allahyarham Zulkarnain tidak lokek ilmu, ketua yang baik – rakan

PENGULAS sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zulkarnain Hassan yang wataknya dihidupkan kembali oleh aktor Bront Palare dalam filem Ola Bola disifatkan rakan setugasnya sebagai seorang yang tidak lokek ilmu, tegas dan berdedikasi.

Menurut laporan BERNAMA, itu antara sikap istimewa Allahyarham Zulkarnain ketika beliau masih berkhidmat di stesen televisyen milik kerajaan itu.

Zulkarnain, 82, atau lebih mesra disapa ‘cucuk Hassan’, disifatkan mereka sebagai ketua dan rakan yang baik, malah dijadikan mentor atau rujukan sekiranya terdapat kemusykilan mengenai tugasan masing-masing, khususnya di dalam bidang sukan.

Bekas rakan setugas Zulkarnain, Abdullah Hasim, 68, berkata, Allahyarham tidak lokek berkongsi ilmu dan sentiasa menegur serta memberi nasihat berguna, bagi memastikan bakat rakan-rakan sejawatan dapat ditonjolkan sewaktu bertugas.

Katanya, beliau yang mengenali Allahyarham sejak 1970 sempat menziarah ke kediaman Zulkarnain pada minggu lepas, bagi mengetahui perkembangan terkini sahabatnya itu.


“Kami bersembang seperti biasa. Malah Allahyarham tidak benarkan saya pulang kerana seronok berbual dan lama tidak berjumpa. Namun, saya berjanji akan datang lagi. Tidak sangka hari ini saya datang ziarah beliau buat kali terakhir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Penerbit dan pengulas sukan veteran bersuara garau itu, meninggal dunia pagi semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami serangan jantung. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Selangor selepas Asar.

Bagi Mustaza Maah, 69, Allahyarham mempunyai ciri-ciri kepimpinan serta seorang yang sangat amanah dalam menjalankan tugas.

“Arwah banyak berkongsi tips mengenai bidang kerja dengan saya dan rakan-rakan lain. Kerap juga menegur tetapi teguran yang diberikan adalah teguran membina, walau dalam nada tegas tetapi masih boleh diterima tanpa rasa terguris,” katanya yang menjawat tugas terakhir sebagai Pengarah Hiburan Radio RTM.

Pengulas sukan terkenal Datuk Abdul Rahim Mohd Razali, 81, juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pengulas sukan yang baik.

“Banyak pengalaman manis bersama beliau. Namun, paling saya tidak lupa ialah ketika kami sama-sama membuat liputan di temasya Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1988, di mana saya banyak berinteraksi dengan beliau ketika itu,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh penyiar berkenaan, yang juga pernah menjadi Exco SAM.

Presiden SAM Datuk Jasni Shafie berkata, persatuan itu merasakan kehilangan yang sangat besar, kerana sumbangan Allahyarham kepada dunia kewartawan sukan sangat tidak ternilai.

“Dalam dunia sukan, kita tetap mengenang Allahyarham, apabila setiap kali sejarah kejayaan pasukan bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, suara ulasannya dalam perlawanan penentuan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka, akan tetap menjadi ingatan dan kenangan bersejarah,” katanya.

Antara pencapaian Zulkarnain sepanjang penglibatan dalam dunia penyiaran adalah, Anugerah Khas MeleTOP Era 2016. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button