Nasional

Pasangan diraja Perlis mahu semua pihak tingkat kesedaran, komitmen cegah kanser

Marilah kita sama-sama menjayakan pelbagai aktiviti yang dijalankan sempena Hari Kanser Sedunia 2022 : ‘Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser “Close The Care Gap” bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan komitmen peribadi yang mempunyai kuasa dalam menentukan tindakan seseorang individu dalam pencegahan kanser.

Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memperingati ‘Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun’ pada semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa tema pada tahun ini adalah Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser “Close The Care Gap”. Tema ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan tentang kanser serta mengajak orang ramai untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser. Sambutan ini diadakan sebagai satu inisiatif dalam usaha menunjukkan kesepakatan seluruh dunia dalam menghadapi cabaran besar dalam memerangi wabak kanser.

Menurut beliau, ‘Di seluruh dunia, tiga jenis kanser yang menyumbang kepada kematian tertinggi pada tahun 2020 ialah kanser paru-paru (1.80 juta kematian), kanser kolorektal (935,000 kematian) dan kanser hati (830,000 kematian). Di Malaysia, seperti kebanyakan negara maju dan negara membangun yang lain, mengalami peralihan epidemiologi di mana penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup terutamanya kanser semakin meningkat. Sejak beberapa dekad yang lalu, kanser merupakan salah satu daripada lima penyakit utama yang menjadi punca kematian di Malaysia. Berdasarkan Fakta Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2021, kanser menyumbang kepada 11.56% daripada jumlah kematian di hospital kerajaan pada tahun 2020 berbanding hanya 9.34% pada tahun 2000. Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19%) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku (16.9%) dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%)’.

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button