Ekonomi

Aliran keluar dana asing cecah RM365.7 juta minggu lalu

Pelabur asing muncul sebagai penjual bersih dengan aliran keluar bersih sebanyak RM365.7 juta bagi minggu berakhir 6 Mei selepas menjadi pembeli bersih untuk tempoh dua minggu, demikian mengikut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya, bank pelaburan itu berkata peruncit tempatan kekal menjadi pembeli bersih bagi minggu keempat berturut-turut berjumlah sehingga RM202.8 juta, manakala institusi tempatan mengakhiri jualan bersih mereka selama 12 minggu dengan kedudukan belian bersih berjumlah RM162.19 juta pada minggu lalu.

“Setakat ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 14 minggu daripada 18 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.92 bilion. Mereka adalah penjual bersih untuk kedua-dua hari dagangan berjumlah sehingga RM143.1 juta pada Khamis dan RM222.6 juta,” katanya.

MIDF Research berkata hanya dua hari dagangan dijalankan minggu lalu iaitu pada Khamis dan Jumaat berikutan cuti perayaan Aidilfitri dan cuti gantian Hari Pekerja.

Katanya institusi tempatan adalah pembeli bersih bagi kedua-dua hari itu dengan merekodkan RM71.9 juta pada Khamis dan RM91.1 juta pada Jumaat.


“Peruncit tempatan turut menjadi pembeli bersih bagi kedua-dua hari dagangan, mencatatkan RM71.3 juta pada Khamis dan RM131.5 juta pada Jumaat,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, setakat ini, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM875.5 juta.

Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 63.18 peratus.

Peruncit tempatan mencatatkan kenaikan 4.29 peratus, manakala institusi tempatan menyaksikan penurunan berjumlah 9.14 peratus.

MIDF Research berkata Hengyuan Refining Company Bhd meraih aliran masuk wang bersih tertinggi sebanyak RM4.29 juta pada minggu lepas, manakala Malayan Banking Bhd mencatatkan aliran keluar wang bersih terbesar berjumlah RM7.11 juta. – Bernama

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button