
Aliff Syukri Kecewa Bakal Disaman Kerana Reka Bentuk Beg – “Peniaga Perlu Yakin Dengan Kredibiliti & Sasaran Pasaran”
Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan seorang individu yang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung reka bentuk beg yang dikatakan mirip dengan produk viral sebelum ini.
Dalam satu klip daripada siaran langsung di TikTok, Aliff Syukri Kamarzaman, 38, menegaskan bahawa dalam dunia perniagaan, tidak wajar untuk berasa iri hati terhadap rezeki orang lain yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.
Menurut beliau, meskipun terdapat banyak produk dengan reka bentuk yang serupa di pasaran, setiap peniaga perlu yakin dengan kekuatan dan kredibiliti jenama masing-masing.
“Tak boleh nak cemburu dengan rezeki orang. Bila awak saman orang lain dan sekat rezeki mereka, itu tidak baik. Bagi saya, berniaga ini perlu percaya kepada kredibiliti dan sasaran pasaran sendiri. Asalkan orang itu tak guna jenama awak atau tiru sepenuhnya reka bentuk, saya rasa tak ada masalah.”
Aliff turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan saman tersebut yang baginya tidak wajar.
Tambah beliau lagi, niatnya mengeluarkan beg berkenaan adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan menawarkan harga yang mampu milik, bukan untuk bersaing dengan mana-mana peniaga.
“Saya hormat semua peniaga, tak kira besar atau kecil. Niat saya berniaga bukan untuk berlawan, tetapi untuk bantu orang yang mungkin nak beli beg mahal tapi tak mampu.”
Beliau menjelaskan bahawa harga yang ditawarkan mampu direndahkan kerana kuantiti pengeluaran beg tersebut mencecah sekitar 20 juta unit.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beg keluaran Aliff Syukri yang dikatakan menyerupai reka bentuk beg viral yang pernah mendapat perhatian ramai.