
Aliff Rakib: Permata Senyap Malaysia yang Kini Bersedia Gegar Dunia Muay Thai
KUALA LUMPUR – Nama Aliff Rakib semakin meniti di bibir peminat seni mempertahankan diri tempatan dan serantau. Tanpa publisiti melampau atau sembang besar, Aliff menunjukkan taringnya di dalam ring — tenang, fokus, dan berbahaya. Kini, ramai percaya beliau bersedia untuk melangkah ke pentas terbesar: pertarungan menentang legenda Muay Thai, Prajanchai, dan merebut kejuaraan dunia ONE Championship.
Dilabel sebagai ‘silent killer’ oleh ramai pemerhati sukan, Aliff tidak seperti pejuang lain. Gaya bertarungnya kemas, bijak membaca gerakan lawan, dan sentiasa mampu menyesuaikan diri di bawah tekanan. Dalam kalangan pelatih dan pemerhati profesional, ketenangan Aliff dilihat sebagai aset yang jarang dimiliki mana-mana atlet Malaysia dalam sukan pertarungan elit.
“Aliff ni diam, tapi dominan. Dia bukan jenis cakap besar, tapi bila naik atas ring — dia ‘mengajar’. Setiap langkah dia penuh strategi. Ini bukan fighter biasa, ini baka istimewa,” ulas seorang pemerhati sukan tempatan.
Meskipun berasal daripada keluarga sederhana dan berhijrah ke Thailand sejak kecil demi mengejar impian, Aliff kini berada di ambang sejarah sebagai mungkin pejuang pertama Malaysia yang bakal membawa pulang tali pinggang kejuaraan dunia ONE Championship dalam disiplin Muay Thai.
Perbandingan dengan pejuang elit seperti Nabil Anane mula timbul — bukan kerana gaya fizikal semata-mata, tetapi kerana kecerdasan taktikal dan ketenangan dalam bertarung. Aliff menggunakan otak, bukan hanya otot. Setiap pergerakan, setiap serangan, semuanya dirancang dan dikawal. Ini yang membezakan beliau dari barisan fighter lain.
Mesej Buat Malaysia
Aliff Rakib bukan hanya seorang atlet. Beliau adalah simbol kebangkitan senyap — datang dari bawah, tidak bergantung kepada media sosial untuk perhatian, dan fokus penuh terhadap matlamat. Ramai berharap agar tiada gangguan luar termasuk tawaran ‘gimik’ atau publisiti murahan mengalih perhatian beliau.
“Bagi ruang Aliff fokus. Biar dia low profile. Dunia influencer ni kadang-kadang kejam. Kita jaga permata ni baik-baik. Dia bukan cari spotlight, dia cari sabuk kejuaraan dunia,” tulis @Renz Nazario dalam artikelnya yang tular di kalangan peminat seni bela diri.
Harapan Negara
Jika segalanya berjalan lancar, Aliff Rakib mungkin bakal mencipta sejarah sebagai juara dunia Muay Thai pertama dari Malaysia — satu pencapaian yang bukan sahaja akan menaikkan martabat negara dalam arena sukan tempur, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda yang mungkin tidak lahir dalam kemewahan, tetapi punya semangat luar biasa.
Kredit penulisan asal: Renz Nazario