Politik

‘Alhamdulillah, perpaduan ummah akan terus terpelihara’ – Abdul Hadi

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan syukur selepas kemelut politik di Perak sejak Jumaat lalu yang turut melibatkan UMNO dan Bersatu berjaya diselesaikan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, perpaduan ummah akan terus dipelihara oleh ketiga-tiga parti yang mempunyai bilangan anggota Melayu dan Islam yang ramai.

Abdul Hadi menegaskan, persepakatan antara umat Islam di negara ini melalui ketiga-tiga parti akan terus diperkasa.

“Alhamdulillah, perpaduan ummah akan terus terpelihara dan diperkasa. Islam memperkukuh perpaduan,” kata Abdul Hadi ringkas.

Hubungan UMNO, Pas dan UMNO diuji sejak Jumaat lalu apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari parti Bersatu hilang kepercayaan sebagai Menteri Besar Perak selepas usul percaya terhadapnya diundi secara belah bahagi di Dewan Undangan Negeri Perak.

Kerjasama politik UMNO, Pas dan Bersatu masih lagi ‘hijau’ tidak sampai setahun selepas ketiga-tiga parti itu mengambil keputusan untuk bekerjasama membentuk Kerajaan Persekutuan pada Mac lalu.

Sebelum ini ketiga-tiga parti itu saling bermusuhan dengan UMNO dan Pas merupakan musuh tradisi sejak sekian lama dan hanya berdamai selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Sementara Bersatu boleh dianggap sebagai parti serpihan UMNO selepas beberapa pemimpin yang dipecat dari UMNO menubuhkan parti baharu dan menjadi musuh ketika kempen PRU-14.

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri dari UMNO yang tidak memberi undi tidak menyokong kepimpinan Ahmad Faizal mencetuskan rasa tidak senang kepimpinan Bersatu dan Pas.

Dalam undian yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 yang membantah dan 1 undi rosak.

Usul undi percaya terhadapnya dibawa Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashim, dari UMNO.

Ketegangan mula dirasakan selepas kepimpinan dalam Perikatan Nasional berbelah bahagi untuk menyokong calon menteri besar baharu dari UMNO.

Bagaimanapun masalah itu berjaya diselesaikan hari ini selepas ketiga-tiga pemimpin utama Pas, UMNO dan Bersatu mencapai persetujuan dalam pertemuan hari ini.

Dalam perbincangan itu turut menyaksikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri BN berikutan kesilapan yang berlaku dalam isu undi percaya terhadap kedudukan menteri besar Perak.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 810 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button