
ALFARO Semarak Ramadan: 1,000 Pasang Baju Raya Buat Anak Yatim dan Asnaf
DALAM semangat Ramadan, jenama tekstil terkenal ALFARO meneruskan tradisi kebajikan dengan menyumbangkan sekitar 1,000 pasang pakaian kepada anak-anak yatim dan asnaf. Inisiatif ini bertujuan untuk menceriakan mereka menjelang Syawal, memberikan mereka kegembiraan menyambut lebaran dengan pakaian baharu.
Menurut pengasasnya, Farooq Ahmad, inisiatif ini bukan sekadar satu bentuk sumbangan material, tetapi juga lambang kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak merasai kegembiraan menyambut perayaan, sama seperti rakan sebaya mereka. Oleh itu, kami berusaha untuk menjadikan Ramadan dan Syawal lebih bermakna buat mereka dengan memastikan mereka turut diraikan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa program ini bukan sekadar bantuan tahunan tetapi sebahagian daripada nilai teras ALFARO dalam memberi kembali kepada masyarakat.
“Kami berharap inisiatif ini dapat diperluaskan dengan lebih banyak kerjasama strategik agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai penerima di seluruh negara,” tambahnya.
Duta jenama ALFARO, Fasha Sandha, turut berkongsi rasa syukur kerana program ini berjalan lancar walaupun melibatkan jumlah penerima yang besar.
“Alhamdulillah, semuanya tersusun dengan baik walaupun ada sedikit cabaran. Saya berasa sangat gembira dapat bertemu dengan anak-anak yatim serta mereka yang kurang upaya. Wajah ceria mereka ketika menerima baju baharu benar-benar menyentuh hati,” katanya.
Antara rumah kebajikan dan institusi yang menerima sumbangan termasuk Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Halimatusaadiah, Akademi Tahfiz Al-Quran Vokasional Al Muttaqin, Yayasan Gemilang, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Manar, Rumah Kanak-Kanak Mini Selangor, Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Kebajikan Masyarakat, Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (Rumah Bakti Dato’ Harun) serta Pusat Jagaan Terapi Autistik Nouri.
Koleksi pakaian ALFARO boleh didapati secara dalam talian di www.alfaro.com.my serta di butik-butik fizikal di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur, Ipoh, Shah Alam, Bangi dan Johor Bahru.