Nasional

PM Singapura ucap tahniah, tidak sabar ingin bertemu Anwar

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Tahniah saya ucapkan atas kemenangan anda pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10,” kata Lee dalam surat tahniah kepada Anwar.

“Tahniah juga kepada Pakatan Harapan (PH) atas prestasi kukuh pada Pilihan Raya Umum,” tambah Lee.

Lee berkata bahawa beliau tidak sabar untuk bertemu Anwar tidak lama lagi, untuk membincangkan isu-isu bersama yang dihadapi kedua-dua negara dan bagaimana ingin memajukan lagi hubungan dua hala.

“Saya dan Ho Ching mendoakan anda dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sihat dan bahagia,” katanya.

Lee menyatakan bahawa jawatan perdana menteri Anwar datang di tengah-tengah cabaran penting dalam persekitaran serantau dan global.

“Sebagai jiran dan rakan rapat, Singapura dan Malaysia harus bekerjasama untuk menguruskan cabaran ini dan meneroka peluang baharu untuk kerjasama,” katanya.

Sementara itu di twitter Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau juga turut berterima kasih atas ucapan tahniah yang diberikan oleh PM Singapura itu.

“Terima kasih PM leehsienloong atas panggilan telefon dan ucapan selamat datang. Sebagai jiran dan rakan kongsi rapat di ASEAN, Malaysia dan Singapura juga berkongsi banyak persamaan, sejarah yang saling berkait rapat,” ujar beliau.

Justeru, beliau berharap dapat bekerjasama untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura. -SM

 

 

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button