Rencah Hidup

Aleeya Zailan sebak rai kejayaan tanpa bonda tercinta

"Tetapi syukur ramai ibu lain hadir doakan saya"

BARU sahaja merasmikan majlis pembukaan butik pertama Avenys pada Ahad lalu, Aleeya Zailan mengakui rasa amat terharu atas sokongan tidak berbelah bahagi pengikut setianya di media sosial.

Selaku pengasas jenama produk kecantikan tersebut, Aleeya memberitahu, perasaannya bercampur-baur sebaik melihat stor fizikal Avenys yang diidam-idamkan selama ini betul-betul wujud di depan mata.

“Ramai sedia maklum, bisnes Avenys bermula di era pandemik dan segala urus niaga diusahakan secara atas talian menerusi platform maya dek kekangan yang ada pada waktu itu.

“Sebab itu apabila hari ini saya lihat sendiri depan mata butik yang selama ini hanya berlegar-legar di fikiran tanpa boleh menyentuhnya, bagaikan tidak percaya.

“Akhirnya penat lelah kami keluarga Avenys memerah kudrat kira-kira setahun lebih akhirnya membuahkan hasil,” cerita usahawan yang berasal dari Melaka itu penuh keterujaan.

Namun di sebalik kejayaannya merealisasikan impian yang juga dianggapnya impian bersama para pelanggan kesayangnya, Aleeya tidak menafikan terbit rasa sebak tatkala kerinduan terhadap arwah ibu menyapa ruang hatinya.

Ini kerana, menurut Aleeya, Avenys bukan sekadar perniagaan semata-mata, bahkan merupakan ‘tempat’ di mana dia rasakan seolah-olah mendapat pengganti atas pemergian arwah ibunya.

“Selain kewangan yang semakin kukuh, menerusi bisnes ini juga Allah telah hadirkan bukan seorang tetapi ribuan pelanggan yang salin tak tumpah seperti arwah ibu.

“Nasihat yang dulunya dititipkan dari mulut arwah ibu kini masih saya dengari dan perolehinya daripada para pelanggan Avenys yang sentiasa mendoakan kejayaan kami.

“Bayangkan saya selalu menerima nasihat daripada ibu-ibu yang kebanyakannya adalah pengikut setia di laman sosial. Mereka tak pernah jemu memberikan sokongan.

“Lebih manis, pohonan doa juga tidak pernah lekang diutuskan buat saya. Alhamdulillah, betapa bertuahnya saya sekeluarga,” cerita Aleeya sambil kedua-dua matanya yang galak mula berkaca menahan sebak.

Turut berkongsi kesedihan dirasainya adalah suami, Azri Aziz atau lebih mesra disapa Big Boss yang baru sahaja kehilangan bapanya pada Disember lalu.

“Memang sedih, tetapi saya tetap gembira dengan pembukaan butik ini dan akan sentiasa ingat pesan arwah agar sentiasa bersikap jujur serta rajin dalam melakukan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Avenys turut memperkenalkan produk terbaharu keluaran mereka berupa jel mandian yang dihasilkan dalam lima haruman iaitu Midnight Dream, Autumn Kiss, Twilight Bliss, Rose Paradise dan Sea Breeze.

Butik pertama Avenys itu dibuka di aras bawah dalam pusat beli-belah Alpha Angle Wangsa Maju dan telah pun memulakan operasi pada awal tahun ini.

Artikel berkaitan > Ramai kagum pempengaruh jutawan masak sendiri 340kg sotong untuk disedekahkan

(Visited 2,162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button