fbpx
Nasional

Alasan penuh Tommy Thomas bebaskan 12 tertuduh berkaitan LTTE

Oleh TAN SRI TOMMY THOMAS

PERBICARAAN LTTE

Pada 29 Oktober 2019, 12 lelaki warga Malaysia telah dituduh dengan menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (“LTTE”). Kesemua tertuduh sejak itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau dikenali sebagai SOSMA, dan akan berhadapan dengan perbicaraan dalam bulan-bulan mendatang.

LTTE

Ditubuhkan pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, LTTE terlibat dengan pertempuran bersenjata terhadap anggota keselamatan kerajaan Sri Lanka dan menjelang akhir tahun 1980an merupakan kumpulan militan Tamil yang dominan di Sri Lanka. Sejak 1983, lebih daripada 80,000 orang mati terbunuh dalam perang saudara yang memakan masa selama 26 tahun.


Mahinda Rajapaksa, Presiden Sri Lanka telah mengisytiharkan kemenangan ketenteraan ke atas Tamil Tigers pada 16 Mei 2009.

Pemberontak-pemberontak telah menawarkan untuk meletakkan senjata sebagai gantian jaminan keselamatan. Pada 17 Mei 2009, Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa LTTE, Selvarasa Pathmanathan mengakui kekalahan, menerusi kenyataan di dalam emel, “this battle has reached its bitter end” (pertempuran ini telah sampai ke penghujungnya yang pahit).

Dengan berakhirnya permusuhan, 11,664 ahli LTTE telah menyerah diri kepada tentera Sri Lanka pada Mei 2009.

Pada Ogos 2011, Presiden Rajapaksa membentangkan kepada Parlimen pembatalan peraturan darurat negara yang keras diperkenalkan pada 2005 untuk menangani ancaman LTTE.

Presiden Rajapaksa memaklumkan Parlimen pada tahun 2011 bahawa “sejak masa ketika aktiviti pengganas berakhir pada Mei 2009 sehingga hari ini tiada laporan-laporan berkaitan aktiviti-aktiviti pengganas”.

Penerbitan bebas dan terkemuka oleh UNHCR, Jabatan Negara AS dan Janes Defence Weekly mengesahkan bahawa LTTE telah menghentikan semua aktiviti-aktiviti di Sri Lanka menjelang 2009.

Pada Oktober 2014, Mahkamah Keadilan Eropah telah membatalkan sekatan-sekatan anti-pengganas dan beberapa sekatan-sekatan lain yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah ke atas LTTE pada 2006.

Mahkamah mengambil maklum bahawa keputusan untuk mengharamkan LTTE dibuat berdasarkan kepada “tuduhan yang berasal daripada media dan internet” berbanding dengan siasatan langsung aktiviti-aktiviti kumpulan itu, sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Setelah itu, pada Mac 2015, Kesatuan Eropah telah mengenakan semula sekatan-sekatan dan larangan-larangan tersebut.

Pada Julai 2017, LTTE telah dikeluarkan daripada senarai hitam pengganas Kesatuan Eropah oleh Mahkamah Keadilan Eropah buat kali kedua.

Mahkamah mendapati tiada bukti untuk membuktikan bahawa LTTE menjalankan serangan-serangan selepas kekalahan ketenteraannya pada 2009.

LTTE tidak disyaki mahupun dikaitkan dengan serangan letupan bom baru-baru ini di Sri Lanka pada hari Easter tahun 2019.

LTTE tidak pernah dalam sejarahnya menjalankan serangan-serangan keganasan di Malaysia.

Kriteria dan pertimbangan bagi pendakwaan

Sebagai Pendakwa Raya, saya mestilah memastikan kelakuan saya adalah sebagaimana yang akan menjaga, menggalakkan dan mempertahankan kepentingan keadilan: Polisi Pendakwaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendakwa Raya-Pendakwa Raya Australia pada Ogos 2019 menyatakannya dengan tepat:-

“Dalam analisis akhir pendakwa bukanlah hamba kerajaan atau individu-individu – dia adalah hamba kepada keadilan”

Ia adalah kewajipan pendakwa bahawa undang-undang diaplikasikan dengan betul dan mencari keseimbangan antara kepentingan awam yang bercanggah.

Kesungguhan membuat persediaan untuk perbicaraan membuatkan ianya berbeza daripada penyiasatan oleh polis atau agensi siasatan yang lain. Para pendakwa hendaklah mengambil kira fakta-fakta yang hanya diketahui semasa kes berkembang setelah pertuduhan-pertuduhan dikenakan.

Kecukupan bukti untuk membuktikan standard jenayah “melampaui keraguan munasabah” sentiasa menjadi cabaran.

Saya hendaklah berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk memperolehi prospek yang jelas untuk sabitan terhadap setiap suspek bagi setiap pertuduhan. Dalam mencapai keputusan tersebut, saya hendaklah menjalankan budi bicara dengan bertanggungjawab dan saksama.

Adalah dimaklumi bahawa 6 tertuduh telah dituduh bagi kesalahan yang dikatakan berlaku di antara Mac dan Disember 2014.

Walau bagaimanapun, para pendakwa tidak mendapati ianya sesuai untuk menuduh mereka segera setelah kesalahan-kesalahan yang dikatakan telah dilakukan.

Ia adalah bercanggah dengan kepentingan awam bagi 6 orang ini dibicarakan pada 2020 kini untuk kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan 6 tahun lepas. Peredaran masa adalah tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini.

Pertuduhan-pertuduhan berkaitan dengan 6 tertuduh melibatkan kesalahan- kesalahan yang dikatakan berlaku pada Januari dan Oktober 2019.

Namun pada masa ini, walaupun LTTE masih lagi digazet di bawah undang-undang kita sebagai kumpulan pengganas, pihak pembelaan akan mencabar bahawa LTTE tidak bertanggungjawab terhadap keganasan waima dalam negara asalnya, Sri Lanka pada 2019, inikan pula mempunyai impak ke atas urusan seharian orang-orang awam di Malaysia.

Kaitannya adalah jauh, tidak betul dan lemah. Mudarat kepada warga Malaysia tidak boleh dibuktikan oleh pendakwaan.

Seksyen 95 Kanun Keseksaan memperuntukan berkenaan perbuatan yang menyebabkan kemudaratan kecil. Ia memperuntukan:-

“Tiadalah apa-apa jua menjadi kesalahan oleh sebab ia menyebabkan atau ia dimaksud menyebabkan atau ia diketahui mungkin menyebabkan apa-apa kemudaratan, jika sekiranya kemudaratan itu adalah sebegitu kecil yang seseorang yang berakal dan berperangai biasa tidak akan mengadu tentang kemudaratan yang seperti itu.”

[penegasan saya]

Seksyen 95 memberi penekanan kepada “kemudaratan”: oleh itu, kesalahan yang tiada mangsa atau yang tidak “memudaratkan” sesiapa seharusnya dipertimbangkan dengan berhati-hati oleh pendakwaan.

34 Pertuduhan

Pada mulanya fokus adalah pada SOSMA kerana tertuduh telah ditangkap dan ditahan selaras dengan prosedur-prosedur yang digariskan di dalam SOSMA.

Walau bagaimanapun, memandangkan perbicaraan mereka semakin hampir, pendakwaan perlu beralih kepada Kanun Keseksaan yang mengandungi peruntukan-peruntukan yang mana kesalahan-kesalahan yang membentuk asas

pertuduhan dijumpai.

12 orang yang dituduh untuk tindakan-tindakan pengganas berhadapan dengan 34 pertuduhan, yang mana boleh dibahagikan kepada 5 kategori kesalahan seperti berikut:-

(i) 6 pertuduhan untuk “memberi sokongan” kepada LTTE dalam suatu majlis;

(ii) 13 pertuduhan untuk “memberi sokongan” kepada LTTE dalam media sosial;

(iii) 13 pertuduhan untuk “memiliki” bahan-bahan berkaitan dengan LTTE;

(iv) 1 pertuduhan untuk “mengedar” bahan-bahan berkaitan dengan LTTE;

dan

(v) 1 pertuduhan untuk “memaparkan” bahan berkaitan dengan LTTE.

Terma-terma “memberi sokongan”, “memiliki”, “mengedar” dan “memaparkan” ditakrifkan di dalam Kanun Keseksaan.

Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan menjadikan ianya satu kesalahan sekiranya seseorang “memberi sokongan” kepada–

a) mana-mana kumpulan pengganas;

atau

b) berlakunya perbuatan pengganas.

Seksyen 130J(2) menyenaraikan banyak contoh “memberi sokongan” termasuklah: “menggunakan media sosial atau apa-apa cara lain untuk–

(i) menyokong atau mempromosikan suatu kumpulan pengganas, sokongan untuk suatu kumpulan pengganas atau pelakuan

suatu perbuatan pengganas;

atau

(ii) menjalankan atau memudahkan aktiviti suatu kumpulan pengganas.”

Seksyen 130JB(1) Kanun Keseksaan menjadikan ianya satu kesalahan bagi seseorang yang–

a) mempunyai milik, jagaan atau kawalan;

atau

b) menyediakan, memaparkan, mengedar atau menjual apa-apa bahan yang berkaitan dengan mana-mana kumpulan

pengganas atau pelakuan suatu perbuatan pengganas.

Apakah itu “Kumpulan Pengganas”?

Seksyen 130B(1) Kanun Keseksaan mendefinisikan terma “kumpulan pengganas” dengan merujuk silang peruntukan di dalam Akta lain, iaitu, Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Seksyen 66B(1) Akta tersebut memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri, sekiranya beliau berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya oleh seorang pegawai polis, bahawa “suatu entiti telah dengan disedarinya melakukan, mencuba untuk melakukan, mengambil bahagian dalam perlakuan atau memudahkan perlakuan, suatu perbuatan keganasan”, boleh, melalui Perintah yang disiarkan dalam Warta, mengisytiharkan entiti itu sebagai entiti ditentukan, dan oleh itu kumpulan pengganas.

Walau bagaimanapun, suatu Perintah yang dibuat di bawah Seksyen 66B(1) oleh Menteri Dalam Negeri bahawa suatu entiti adalah kumpulan pengganas tidak dimaksudkan untuk kekal dan bertahan selama-lamanya.

Parlimen mengiktiraf bahawa, dengan peredaran masa, satu kumpulan yang menggunakan keganasan untuk mencapai matlamatnya mungkin bertukar atau menyesuaikan pendekatan dengan menolak keganasan dan menerima kaedah-kaedah yang aman sebagai ganti.

Sejarah penuh dengan contoh-contoh seumpama itu. Seksyen 66B(9) oleh itu memperuntukan bahawa Menteri tersebut hendaklah mengkaji semula Perintah yang dibuatnya “tiap-tiap 6 bulan untuk menentukan sama ada masih terdapat alasan yang munasabah bagi perintah tersebut untuk terus terpakai bagi sesuatu entiti tertentu”, dan sekiranya Menteri tersebut menentukan bahawa tidak terdapat alasan yang munasabah, beliau hendaklah dengan segera membatalkan Perintah yang dibuatnya sebelum ini.

Oleh itu ianya jelas dan nyata bahawa undang-undang menghendaki suatu Perintah mengisytiharkan sesuatu entiti sebagai kumpulan pengganas hendaklah dikaji semula setiap 6 bulan oleh Menteri tersebut. Sekiranya tindakan-tindakan atau kecenderungan kepada keganasan berterusan, Perintah tersebut dikekalkan.

Jika, sebaliknya, tindakan-tindakan sedemikian telah berhenti atau entiti tersebut telah hampir luput, tidak wujud lagi atau dibubarkan, maka Perintah tersebut seharusnya dibatalkan.

Parlimen telah menggunakan ungkapan “alasan yang munasabah”, dengan itu menandakan satu standard objektif yang boleh disemak oleh Mahkamah sekiranya satu tindakan undang-undang diambil.

Ia bukanlah standard subjektif berdasarkan kepada perasaan. Satu contoh domestik dan luar negeri yang terfikir berkenaan bagaimana organisasi-organisasi ketenteraan/politik berubah dengan peredaran masa.

Sekiranya Parti Komunis Malaya (“PKM”) diisytiharkan dalam tahun 2020 sebagai “kumpulan pengganas” di bawah Seksyen 66B(1), perisytiharan tersebut merupakan satu kesalahan dalam menjalankan kuasa yang diperuntukan oleh statut kerana hakikatnya adalah Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Damai dengan PKM pada tahun 1989 di Hat Yai, dan PKM telah lama tidak wujud lagi.

Di Ireland, Sinn Fein pada mulanya menyokong IRA dalam matlamat ketenteraannya, namun dengan peredaran masa menjadi parti politik biasa yang telah berhenti berjuang menggunakan keganasan untuk mendapatkan kuasa.

Sokongan pengundi daripada peti undi di dalam pilihan raya umum Ireland baru-baru ini sangat mengagumkan. Apa-apa keputusan oleh Menteri Malaysia pada tahun 2020 untuk mengisytiharkan Sinn Fein sebagai “kumpulan pengganas” akan begitu juga adalah satu kesilapan di sisi undang-undang.

LTTE telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Menteri Dalam Negeri melalui Perintah yang digazetkan pada 12 November 2014.

Salah seorang daripada tertuduh telah dituduh memberi sokongan dan mengedar bahan-bahan berkaitan LTTE pada bulan Mac dan Jun 2014, iaitu sebelum LTTE digazetkan sebagai kumpulan pengganas.

Ia adalah jelas bahawa pertuduhan-pertuduhan tersebut yang dikenakan ke atasnya tidak boleh dipertahankan kerana pada masa tersebut LTTE belum lagi digazetkan, yang merupakan elemen yang dikehendaki untuk kesalahan-kesalahan tersebut.

Tambahan pula, pihak pembelaan bagi setiap tertuduh boleh menghujahkan bahawa perisytiharan bahawa LTTE adalah kumpulan pengganas pada 12 November 2014 berkemungkinan tidak sah atau setidak-tidaknya patut dibatalkan selaras dengan kajian semula Perintah di bawah Seksyen 66B(9).

Apakah itu “Perbuatan Pengganas”?

Suatu “perbuatan pengganas” didefinisikan dalam Seksyen 130B(2) Kanun Keseksaan untuk bermakna suatu perbuatan atau ugutan tindakan dalam atau luar Malaysia yang bertepatan dengan satu atau lebih kriteria dalam Seksyen 130B(3) dan yang dengan jelas tidak termasuk dalam pengecualian yang diperuntukan dalam Seksyen 130B(4).

Kriteria yang disenaraikan dalam Seksyen 130B(3) menjadikan ianya jelas bahawa perbuatan pengganas atau ugutan tindakan yang difikirkan adalah bersifat berat dan serius.

Contoh-contoh termasuklah perbuatan yang menyebabkan kematian dan penggunaan senjatapi dan bahan letupan.

Pengecualian yang diperuntukan dalam Seksyen 130B(4), sebaliknya, menunjukkan dengan jelas bahawa perbuatan-perbuatan sokongan, bantahan, pertentangan pendapat atau tindakan industri yang tidak berniat untuk menyebabkan kematian, cedera parah atau risiko pada keselamatan awam bukanlah perbuatan pengganas atau ugutan tindakan.

Dengan kata mudah, perbuatan aman bukan perbuatan pengganas.

Pengecualian yang diperuntukan dalam Seksyen 130B(4) mencerminkan pengiktirafan Parlimen terhadap hak-hak asasi perlembagaan, termasuk hak kebebasan bercakap dan bersuara dan hak kebebasan untuk berpersatuan dan berhimpun.

Garis pemisah antara perbuatan-perbuatan yang boleh dikatakan sebagai perbuatan pengganas dan perbuatan yang tidak adalah keseriusan perbuatan itu: sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan atau dengan niat untuk menyebabkan kematian orang lain, ia adalah perbuatan pengganas.

Namun, sekiranya ia hanya kenyataan atau bantahan, sama ada dalam media sosial atau sebaliknya, tanpa ugutan keganasan, ia bukanlah perbuatan pengganas.

KEPUTUSAN

Ia adalah lazim untuk mempunyai idola yang diagungkan. Ia bukan sekadar bintang pop, ahli sukan atau pelakon yang dikagumi: personaliti-personaliti sejarah dan ahli politik adalah subjek yang sering dipuja.

Oleh itu, jutaan orang diseluruh dunia mengagumi Lenin, Stalin, Mao Tse Tung atau Che Guevara, dan seumpamanya.

Mempunyai gambar-gambar mereka dan representasi-representasi lain yang berkaitan dengan mereka di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook seseorang tidak menukar seseorang menjadi pengganas.

Hanya kerana setiap seorang pemimpin ini menggunakan keganasan atau kekerasan untuk mencapai matlamat politik mereka tidak bermakna bahawa seorang penyokong tegar atas talian seharusnya dianggap sebagai seorang pengganas atau merancang perbuatan keganasan.

Itu merupakan tema umum kesemua 12 tertuduh LTTE. Setiap seorang daripada mereka mempunyai di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka gambar Prabhakaran dan pemimpin-pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka.

Sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati.

Namun walaupun berkemungkinan terdapat elemen-elemen “perbuatan pengganas” dipihak kesemua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar atau memaparkan gambar-gambar tersebut atau Prabhakaran, ia adalah mustahil bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan yang mana ia sekadar terjumlah “sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat”.

Berdasarkan sebab-sebab tersebut, saya telah membuat keputusan bahawa tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan tersebut.

Oleh yang demikian, dalam menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, saya telah memutuskan untuk memberhentikan prosiding-prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta merta.

Tan Sri Tommy Thomas
Pendakwa Raya / Peguam Negara

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button