Luar Negara

Akufo-Addo angkat sumpah sebagai Presiden Ghana untuk penggal kedua

PRESIDEN Ghana Nana Addo Dankwa Akufo-Addo mengangkat sumpah jawatan semalam bagi memulakan penggal kedua dan terakhirnya sebagai presiden, lapor Agensi Berita Xinhua.

Ketua Hakim, Kwasi Anin Yeboah turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia kepada Akufo-Addo di hadapan anggota kabinet, 12 ketua negara yang hadir, tetamu tempatan dan antarabangsa.

“Pemilihan semula ini menjadi bukti kepercayaan rakyat Ghana kepada saya serta menghargai pencapaian sepanjang penggal pertama saya dan menyelesaikan beberapa perkara lagi untuk tempoh empat tahun akan datang,” kata Akufo-Addo.

Beliau tekad membawa rakyat negara itu mencapai kemajuan, kemakmuran dan pembangunan serta menangani cabaran Covid-19.

Menurut beliau, demokrasi di Afrika Barat akan tercapai sekiranya negara yang makmur dapat dibina dan rakyat saling berdamai sesama sendiri dan dengan dunia.

Mengulas mengenai pemilihan bekas Ahli Parlimen pembangkang Alban Bagbin sebagai Pengerusi Parlimen, Presiden itu berkata, walaupun ia kali pertama berlaku, beliau bersedia bekerjasama dengan speaker baharu itu demi kepentingan negara dan rakyat.

“Saya yakin hubungan kami berdua akan mengutamakan kepentingan rakyat bagi memastikan pemerintahan yang baik sepanjang melaksanakan urusan negara,” kata Presiden Akufo-Addo.

Akufo-Addo melengkapkan penggal pertamanya sebagai presiden Ghana pada Rabu dan kemudian diumum memenangi Pilihan Raya Presiden pada Disember 2020.

Turut mengangkat sumpah bagi penggal kedua, Naib Presiden, Mahamudu Bawumia.

Perlembagaan Ghana membenarkan maksimum dua penggal empat tahun untuk setiap presiden. – SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button