Nasional

5 tema utama tangani impak COVID-19 – Muhyiddin

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menggariskan lima tema utama dalam merangka proses pemulihan dalam menangani impak COVID-19.

Muhyiddin berkata, tema yang dikemukakan itu digariskan dengan teliti termasuk memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik.

Ia turut merangkumi persediaan terhadap kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

Serentak itu Muhyiddin menjemput para pemimpin industri, penggerak masyarakat sivil, ahli politik, pemimpin masyarakat dan golongan muda untuk berkongsi idea, supaya kita sama-sama dapat merangka pemulihan yang sejajar dengan kepentingan negara.

Kita perlu mengetepikan segala perbezaan dan mencari titik persamaan. Kita mesti bersama-sama menyelamatkan nyawa, ekonomi dan negara.

“Malaysia memerlukan anak watan untuk tampil mengembalikan kegemilangannya.

“Kita tidak mahu lagi polemik politik dan perpecahan mengganggu gugat usaha murni kita dalam memerangi pandemik dan membina semula ekonomi,” kata bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya pada Khamis.

Lima tema utama tersebut:

i) Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik dan bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

ii) Mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang memerlukan perhatian utama.

iii) Mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mampan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan.

iv) Memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital.

v) Memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.-SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button