Luar Negara

COVID-19: Pembelian panik meningkat di Bangkok ekoran peningkatan kes

RAKYAT Thailand berpusu-pusu ke pasar raya dan kedai runcit berdekatan pada Ahad untuk membeli barang keperluan berikutan kebimbangan semakin meningkat terhadap wabak COVID-19 selepas kes meningkat dengan ketara di negara ini.

Video dan imej yang memaparkan rak-rak kosong, troli yang penuh dengan makanan kering, barisan panjang  yang luar biasa di kaunter-kaunter pasar raya kini tular di media sosial. Ramai daripada pengunjung berkongsi pengalaman mereka di pasar-pasar raya yang penuh sesak dengan pelanggan membeli dalam kuantiti banyak.

Pada Ahad, Thailand mencatatkan 32 kes baharu COVID-19, angka tertinggi dalam sehari sejak wabak itu berlaku pada  Januari, menjadikan jumlahnya 114 kes di negara ini.

Tinjauan di pusat beli-belah Big C Ekkamai  di Bangkok mendapati pengunjung memakai topeng muka dan sarung tangan, menolak troli penuh dengan kertas tandas, makanan dalam tin, makanan kering, beras serta air botol. Rak menempatkan susu formula bayi dan makanan haiwan kesayangan semakin kosong.

Seorang suri rumah berumur 46 tahun, Lalita Saiwan berkata dia membeli bekalan makanan dan barangan perlu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semua orang berbelanja lebih daripada biasa sebagai langkah berjaga-jaga. Sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sekatan keluar masuk di seluruh negara susulan peningkatan ketara kes COVID-19, kami mempunyai bekalan makanan yang cukup,” katanya kepada Bernama.

Seorang pekerja di Big C, yang enggan dikenali berkata makanan yang mempunyai jangka hayat lebih lama cepat habis sejak minggu lepas.

Bagaimanapun, katanya lebih banyak orang membeli dalam kuantiti banyak terutamanya air botol, beras dan mee segera sejak tengah hari semalam.

“Kebanyakan mereka membeli satu troli penuh. Anda dapat lihat barangan di rak-rak habis dengan begitu cepat sehingga kami tidak menang tangan menggantinya dengan stok baharu,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha menasihatkan orang ramai  supaya tenang dan berhenti melakukan pembelian panik.

“Tidak perlu melakukan pembelian panik. Kita masih belum di peringkat untuk menyimpan bekalan makanan …jangan takut,” katanya kepada pemberita semalam.- BERNAMA

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button