NasionalParlimenUncategorized

Sumbangan Tunai Rahmah dibayar sebelum Raya Haji

SUMBANGAN Tunai Rahmah (STR) fasa ketiga yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibayar kepada penerima golongan B40 sebelum sambutan Hari Raya Haji pada akhir bulan ini.

Anwar berkata pembayaran tersebut akan dimanfaatkan oleh lapan juta penerima di seluruh negara.

Perdana Menteri Anwar berkata, selain itu, bayaran e-Tunai Belia Rahmah sebanyak RM200 kepada belia berusia 18 sehingga 21 tahun juga akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini.

Anwar memberi pencerahan demikian pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang bertanya tentang pembaharuan dibuat oleh kerajaan dalam pendekatan dan tatakelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan serta kebocoran wang awam selain sama ada kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.

Anwar berkata, sejumlah RM158 bilion atau 41% daripada keseluruhan Belanjawan 2023 dibelanjakan sehingga Mei lalu.

Beliau menyifatkan ia sebagai kapasiti terbaik suku tahun pertama jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Perdana Menteri Anwar turut memperincikan RM158 bilion tersebut meliputi RM3 bilion bagi bayaran fasa pertama dan kedua STR yang memanfaatkan 8.7 juta penerima.

Juga, Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam dan lebih 1 juta pesara dan RM3 bilion bagi subsidi bil elektrik.

“RM11 bilion bagi subsidi produk petroleum dan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan,” jelas beliau.

Anwar berkata, langkah lain yang dilakukan kerajaan adalah pengecualian duti setem 100% yang diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000 dan pengecualian duti setem 75% bagi pembelian rumah berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta.

Katanya, kerajaan juga bersetuju agar duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang (hibah) melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1 juta pertama nilai harta tanah. – SM

(Visited 110 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button