Nasional

Aktiviti kuari di Hutan Simpan Segari Melintang jejas air terjun

PERSATUAN Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berharap aktiviti kuari di Hutan Simpan Segari Melintang, Pantai Remis di sini yang berstatus Hutan Simpanan Kekal dapat dihentikan segera.

Timbalan Pengerusi Kuasa, Ismady Radzuan berkata aktiviti itu menyebabkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera, yang merupakan antara tarikan pelancongan, kini musnah hampir 90 peratus susulan aktiviti kuari sejak tahun lepas.

“Kalau tengok keadaan (air terjun) itu, sukar untuk pemuliharaan tetapi saya yakin kalau kita boleh hentikan apa yang ada dan tinggalkan, ia boleh pulih secara semula jadi,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan itu hari ini.

Beliau berkata aktiviti kuari itu dijalankan sebuah syarikat kontraktor yang dilantik oleh syarikat milik kerajaan negeri sejak Julai tahun lepas.

Katanya air terjun setinggi 300 meter dengan keluasan lebih sehektar itu tidak dibuka kepada orang awam kerana terletak dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal yang memerlukan permit jika ingin masuk untuk melakukan aktiviti termasuk beriadah.


“Air terjun ini dipercayai mempunyai tujuh tingkat dan mempunyai lubuk di setiap tingkat namun hari ini, kita lihat semuanya berubah dan musnah,” katanya.

Ismady berkata Kuasa bersama dengan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan beberapa NGO menggesa pihak berkuasa negeri mewartakan keseluruhan hutan simpan itu sebagai Hutan Taman Negeri.

“Sekiranya pihak berkuasa negeri komited untuk memastikan kawasan berhutan yang mempunyai nilai kepentingan hayat terpelihara, mereka perlu menyegerakan cadangan Taman Negeri Segari Melintang yang pada dasarnya telah dipersetujui,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Sungai Batu, Ishak Mohamad, 63, pula berkata kemusnahan air terjun itu perlu diambil berat oleh syarikat terbabit serta pihak berkuasa tempatan.

“Saya telah tahu kewujudan tempat ini sejak tahun 1978 lagi, kita memang tahu air terjun di tempat ini memang cantik namun sekarang amat teruk. Kami bukan membantah pembangunan tetapi perlu prihatin dengan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar sudah diarah untuk membuat laporan berhubung keadaan tersebut.

“Sekiranya apa yang berlaku itu disebabkan kegagalan pematuhan dalam syarat lesen maka tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkaitan. Isu ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA

(Visited 214 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button