
Akta Majlis Media Malaysia Berkuat Kuasa Sempena HAWANA 2025 – Satu Langkah Reformasi Institusi Penting Negara
Kerajaan Malaysia hari ini menandakan satu detik penting dalam sejarah kebebasan media negara apabila Akta Majlis Media Malaysia 2025 secara rasmi berkuat kuasa bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, mengumumkan perkara tersebut sambil menegaskan bahawa pelaksanaan akta ini merupakan satu reformasi institusi utama yang menyeimbangkan kebebasan media dengan prinsip akauntabiliti.
“Media berperanan sebagai penyemak dan pengimbang dalam sebuah demokrasi. Namun seperti industri lain, ia juga tidak boleh lari daripada tanggungjawab. Maka, keperluan kepada kawal selia kendiri (self-regulation) yang lebih matang dan profesional menjadi keutamaan,” ujar beliau.
Dengan penguatkuasaan akta ini, Malaysia akan mula beralih daripada pendekatan intervensi kerajaan kepada sistem kawalan sendiri oleh industri media, di mana aduan dan rungutan terhadap laporan media akan diselesaikan melalui mekanisme khas yang akan dirangka oleh Majlis Media Malaysia.
Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, menyifatkan akta ini sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi yang tulen.
“Penubuhan Majlis Media ini bukan sahaja mencerminkan janji manifesto Kita Boleh Pakatan Harapan dalam PRU15, tetapi juga satu langkah bersejarah untuk menjamin kebebasan media serta mengurangkan kebergantungan kepada sistem kehakiman dan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Syahredzan turut menggesa agar kerajaan melakukan semakan semula terhadap undang-undang lama seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan agar ia selaras dengan semangat kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Akta ini dijangka menjadi tonggak baharu dalam landskap media Malaysia dengan mewujudkan ekosistem yang lebih bebas, bertanggungjawab dan berintegriti untuk seluruh pemain industri termasuk media atas talian.