pilihan

Akok laris 1,000 biji dalam masa tiga jam

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 5 April – Kuih akok merupakan kuih tradisional yang cukup sinonim dengan orang Kelantan. Tidak
hairanlah setiap kali menjelang Ramadan, kuih itu menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa.

Bukan sahaja di Kelantan malah di beberapa negeri lain juga, kuih akok terus menjadi buruan pelanggan
setiap kali kedatangan Ramadan.

Ini kerana kuih itu jarang dijual pada hari biasa sebaliknya ia memang ditunggu-tunggu oleh orang ramai
setiap kali umat Islam menyambut Ramadan setiap tahun.

Tidak hairanlah kuih Akok di Bazar Ramadan Taman Rambai Jaya, Melaka dekat sini adalah yang paling
dinanti-nantikan oleh pengunjung setiap kali tibanya bulan puasa.

Kuih tradisional paling popular di Kelantan itu, menjadi pilihan hingga menyebabkan orang ramai sanggup
beratur panjang untuk mendapatkannya.

Tidak hairanlah sejak bermulanya Ramadan pada Ahad, setiap hari akok yang diusahakan Salmona Hasan, 56,
bersama anak-anaknya mampu terjual lebih 1,000 biji dalam tempoh tiga jam.

Menurutnya yang berasal dari Melor, Kota Bharu Kelantan itu, keenakan akok dijual keluarganya adalah
keenakan rasa hingga mempunyai pelanggan tersendiri.

“Sudah 15 tahun saya berniaga menjual akok di Bazar Ramadan di Taman Rambai Jaya. Alhamdulillah ramai yang
suka keenakan resipi datuk dan nenek saya.

“Sejak dua hari di bulan puasa, akok saya habis terjual dan tidak tinggal saki baki pun untuk saya serta
keluarga makan,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Salmona berkata, resipi turun temurun itu tidak diubah rasa aslinya hingga dikekalkan sejak dahulu hingga
hari ini.

Menurutnya, seawal pukul 4.00 petang dia hendak memulakan perniagaan, sudah ada pelanggan yang membuat tempahan awal.

Katanya, harga akok yang dijualnya masih dikekalkan pada harga lama iaitu lima keping berharga RM2 dan
tujuh keping sebanyak RM3.

“Walaupun ramai peniaga kuih di sini telah menaikkan harga lima keping pada harga RM3 tetapi saya masih
kekalkan harga lama. Tak salah rasanya tak naik harga untung sikit pun rezeki,” ujarnya.

Selain itu katanya, dia turut menjual beberapa jenis kuih tradisional yang lain seperti badak berendam,
onde-onde, kuih butir nangka, lompat tikam, sagupa inti kacang dan puding karamel.

Kuih tersebut katanya, juga dikekalkan pada harga lima keping untuk RM2 sahaja.

habis…./

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button