Hiburan

Akim tak pernah tinggalkan ‘The Majistret’

BARU-BARU ini Akim muncul dengan single solo berjudul Bayang yang dicipta oleh Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik serta Arisz Ab Rahman.

Ramai yang hairan mengapa lagi tersebut tidak dinyanyikan oleh kumpulan Akim & The Majistret (ATM) sehingga ada yang beranggapan bahawa Akim sudah tidak bersama band itu lagi.

Menjelaskan situasi tersebut, Akim berkata, ATM masih lagi aktif dan tidak pernah dibubarkan walaupun dia bergerak solo.

“Saya tampil secara solo ini sebagai projek sendiri sahaja. Tidak ada kaitan sama ada saya meninggalkan ATM atau tidak.

“ATM masih ada dan sekarang ini kami dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album.


“ATM perlukan waktu untuk cari material yang berkualiti dan tiada istilah ATM mahu berenti ataupun tidak. Semua kena jalan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Akim, “Bayang” adalah lagu yang cukup istimewa kerana ia adalah hasil cetusan idea dia bersama isteri tercinta juga penyanyi terkenal, Stacy.

“Lagu Bayang ini sangat berbeza dengan single saya sebelum ini. Ia boleh disifatkan evolusi saya sebagai seorang penyanyi. Dari segi bunyi dan muzik, ia juga berbeza dengan ATM.

“Muzik Bayang lebih mengenengahkan instrumen elektronik. Malah, ia sangat istimewa kerana merupakan hasil cetusan idea saya bersama dengan Stacy.

“Disebabkan lagu Bayang ini adalah projek solo, saya mahukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo.

“Tapi kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza pula. Setelah lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, penyanyi solo.

“Jadi, inilah buah tangan terbaru untuk peminat yang rindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, lagu Bayang ini satu lagi evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya.

Menurut Akim, lagu Bayang sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan sebagai sebuah single solo.

“Lagu Bayang ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi. Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan kepada saya untuk merakamkan lagu ini. Tapi, saya cakap nanti dulu.

“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tapi, ketika itu saya belum dapat tangkap lagi melodi dan muzik lagu ini.

“Tidak sangka kebetulan ada projek terbaru daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam sebuah lagu secara solo. Lagu yang sesuai pun dah ada jadi saya ambil keputusan untuk terus merakam lagu Bayang.

Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Itu yang saya cakap, lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada ‘sentimental value,” katanya.

Lagu “Bayang” kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music. Video lirik rasmi lagu “Bayang” juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini. -SM

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button