Ekonomi

Sime Darby Property laksana penyelesaian solar

Bersempena dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (“NETR”) Fasa 1 oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menggariskan sokongannya terhadap wawasan Kerajaan untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga  boleh diperbaharui menjelang 2050.

Dengan sebuah pembetangan yang bertajuk Sime Darby Property – Penyelesaian Solar untuk Perbandaran (‘Sime Darby Property – Solar Solutions for Townships’), Kumpulan memetakan usahanya ke dalam penyelesaian bumbung untuk pengeluaran tenaga solar.

Usaha ini sejajar  dengan strategi Kumpulan untuk menjadi sebuah syarikat hartanah dengan pelbagai aliran sumber pendapatan menjelang 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, dalam menghadapi peralihan tenaga global, komitmen mereka melangkaui pemaksimuman nilai aset.

Katanya, ia adalah mengenai pembentukan masa hadapan.

“Penglibatan Kumpulan dalam tenaga boleh diperbaharui ini mewujudkan pelbagai aliran sumber pendapatan, dan membawa kepada era pertumbuhan yang mampan untuk Sime Darby Property dan para pelabur kami,” katanya.

Sime Darby Property sedang melihat kepada penyelesaian bumbung solar dengan 1,000 unit tanah kediaman sebagai projek perintis di Bandar Elmina, Shah Alam yang menerajui perbandaran hijau dan pengurangan pelepasan karbon.

Dengan projek perintis yang berjaya,  inisiatif ini mampu diperluaskan kepada 10,000 rumah Sime Darby Property pada masa hadapan untuk dilancarkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Azmir menambah, ia bukan sahaja mengenai penjanaan tenaga malah ia juga tentang pewujudan ekosistem di mana bekalan daripada bumbung rumah yang tidak digunakan sebelum ini yang dibina oleh Sime Darby Property dimanfaatkan untuk memenuhi permintaan tenaga hijau yang semakin tinggi.

Katanya, di bawah model ini, bumbung dipajak daripada pembeli rumah untuk pemasangan penyelesaian solar. Tenaga solar yang dijana di perbandaran diguna pakai oleh pengguna-pengguna berpermintaan tinggi dari sektor runcit/komersial atau perindustrian.

Pada masa hadapan, Sime Darby Property juga menjangkakan ladang solar berskala besar dibangunkan di atas anggaran 1,000 ekar tanahnya di Johor dan Kedah.

Sebagai tambahan kepada penyelesaian bumbung solar, pembekalan tenaga solar daripada ladang-ladang solar tersebut akan digunakan untuk mengimbangi keperluan permintaan di perbandarannya.

Azmir menyimpulkan, “Kami akan mengorak langkah seterusnya di perbandaran kami, dengan Sime Darby Property sebagai penjana utama tenaga solar untuk perbandaran sedia ada dan taman perindustrian, antara lain.

“Walau bagaimanapun, usaha ini melangkaui sekadar usaha komersial, ia adalah mengenai usaha untuk memperkasakan masyarakat dan memainkan peranan yang penting dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui yang bercita-cita tinggi di Malaysia. Sime Darby Property akan terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan dan memacu usaha Kerajaan dalam mencapai sasaran karbon sifar bersih.” – SM

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button