Ekonomi

MRT 2 siap 70 peratus, mula beroperasi pada 2023 – Lim

PUTRAJAYA, 17 Jan — Pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) atau MRT 2 telah siap sebanyak 70 peratus dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2023.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata MRT 2 yang dijangka siap pada 2022 itu turut membabitkan penjimatan kos sebanyak RM8.82 bilion kepada RM30.53 bilion daripada kos asal pembinaan yang mencecah RM39.35 bilion.

“Tarikh mula operasi bagi fasa pertama MRT 2 iaitu antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Baru kekal sama pada Julai 2021 manakala untuk fasa kedua antara Kampung Batu dan Putrajaya Sentral adalah Januari 2023,” katanya.

Lim berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tambahan membabitkan perjanjian rakan pelaksana projek bagi MRT laluan SSP antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Abdul Yazid Kassim dan Pengarah MMC-Gamuda KVMRT Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.

Menurut Lim, perjanjian tambahan itu bagi membolehkan perubahan ke atas perjanjian rakan pelaksana projek asal yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 2015 dan merangkumi pelantikan MMC-Gamuda sebagai rakan pelaksana projek (PDP) bagi pembinaan MRT 2.

“Ini adalah hasil daripada inisiatif rasionalisasi kos oleh kerajaan bagi projek-projek mega yang berjaya mengurangkan kos pembinaan,” katanya.

Malah, perjanjian itu turut memuktamadkan proses rasionalisasi dan berjaya mengurangkan kos pembinaan MRT2 kepada RM30.53 bilion daripada kos asal RM39.35 bilion, katanya.

“Ini merupakan penjimatan terbesar 22.4 peratus berbanding kos pembinaan asal MRT 2 seperti yang dirundingkan antara kerajaan dan MMC-Gamuda pada Oktober 2018,” katanya.

Antara penyumbang utama kepada penjimatan kos itu adalah penangguhan dan rasionalisasi skop kerja bawah tanah dan bertingkat seperti penundaan pembukaan stesen bawah tanah di Bandar Malaysia, serta penyederhanaan kemasan seni bina stesen.

Ini termasuk perubahan struktur projek dari model rakan pelaksana projek kepada model turnkey yang menghasilkan penjimatan yuran rakan pelaksana projek, dan rasionalisasi peruntukan bayaran balik, kontingensi dan ´wang provisional,´ katanya.

Lim turut menegaskan, walaupun terdapat perubahan dalam struktur projek, pihak kerajaan telah memastikan supaya sasaran asal penyertaan Bumiputera sebanyak 45 peratus daripada nilai kontrak RM30.53 bilion iaitu RM13.7 bilion adalah dikekalkan.

Ditanya sama ada stesen di Bandar Malaysia akan diteruskan seperti dalam perancangan asal, beliau berkata ia bergantung kepada aspek volum dan kapasiti.

Menurutnya, walaupun kerangka stesen bagi Bandar Malaysia telah wujud, namun langkah untuk meneruskan rancangan asal adalah bergantung kepada permintaan di kawasan berkenaan.

— BERNAMA

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button