Ekonomi

FGV unjur harga MSM sekitar RM2,400-RM2,600 satu tan

FGV Holdings Bhd (FGV) menyasarkan harga minyak sawit mentah (MSM) didagangkan sekitar RM2,400-RM2, 600 satu tan pada separuh kedua 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata harga MSM dijangka menyederhana pada suku keempat tahun ini berbanding harga yang lebih kukuh dalam jajaran RM2,700-RM2,800 satu tan pada masa ini.

Menurutnya, harga MSM kukuh pada suku kedua dan terus bertahan pada suku ketiga berikutan peningkatan semula aktiviti perdagangan, khususnya ke China dan India selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Banyak usaha-usaha penambahan stok telah dijalankan dan inilah punca kenaikan harga MSM itu. Namun, keadaan akan menyederhana sedikit pada suku keempat yang menjadikan jumlah harga pada kadar sederhana berbanding sekarang,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan suku kedua FGV di sini, hari ini.

Haris Fadzilah berkata, FGV juga menjangkakan fenomena cuaca La Nina akan berlaku tahun ini dengan musim lembap akan berlanjutan sehingga Disember 2020 dan telah mengambil langkah perlu bagi menguruskan sistem jalan raya dan memastikan tuaian hasil dapat dilakukan.

FGV juga menjangkakan hasil purata tahunannya mencecah kira-kira tiga juta tan tahun ini manakala hasil tanda buah segarnya pula diunjur sekitar 10.8 tan hingga 10.9 tan sehektar pada separuh kedua 2020.

Ditanya sama ada pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan FGV, Haris Fadzilah berkata jika Felda berbuat demikian, ini membolehkan FGV menjimatkan kira-kira RM1.5 bilion dari segi komitmen perbelanjaan tahunan.

Ia juga dapat meningkatkan aliran tunai serta pinjaman FGV dan Felda perlu mengambil alih semua pekerja yang berkaitan dengan perniagaan perladangan.

Menurutnya, secara keseluruhannya, terdapat 11,000 pekerja asing berkaitan segmen perladangan syarikat.

Mengikut LLA tersebut, FGV menguruskan tanah seluas 315,000 hektar milik Felda manakala ia mempunyai tanah seluas 80,000 hektar.

Pada masa ini, FGV membelanjakan kira-kira RM300 juta bagi tujuan penanaman semula, RM350 juta untuk pembajaan, RM590 juta bagi gaji dan RM270 juta dari segi perbelanjaan modal setahun untuk segmen perladangan.

Syarikat tersebut turut membayar yuran RM248 juta dan 15 peratus bahagian keuntungan kepada Felda setiap tahun.

Beliau berkata, sekiranya LLA ditamatkan, FGV akan memberi tumpuan terhadap aktiviti pertengahan hingga hiliran. – BERNAMA

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button