Politik

Ajakan Mujahid: Minta maaf sahajalah – Asyraf Wajdi

AJAKAN Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa kepada UMNO untuk bersama-sama Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan ditolak mentah-mentah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki secara sinis berkata, pihaknya terpaksa meminta maaf kerana terpaksa menolak rayuan Mujahid yang mahu UMNO menyokong Anwar.

“Ingat kekanda YB Dr Mujahid Yusof Rawa merayu UMNO untuk fokus agenda bantu rakyat yang sedang susah dan resah depani Covid-19 dan dampak negatif terhadap ekonomi rakyat.

“Kalau merayu supaya sokong Anwar, Pemuda UMNO hanya boleh sebut minta maaf sahajalah!” kata Asyraf Wajdi.

Semalam dalam artikel bertajuk ‘Membuang Sial Langkah Sheraton’ yang dimuat naik di Facebooknya, Mujahid mendakwa UMNO telah menjadi mangsa kumpulan ‘pembelot’ dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, mangsa pembelot masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.

“Kunci memimpin pemulihan besar-besaran negara kini berada di genggaman DSAI dan 91 MP yang solid bersamanya.

“Para pembelot telah dikenali rakyat manakala mangsa-mangsa pembelot masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.

“Saya merayu rakan-rakan Ahli Parlimen rentas politik kepartian supaya kali ini marilah kita berganding bahu membina ketahanan negara di waktu krisis ini,” kata Mujahid.

Menurutnya, UMNO perlu sedar bahawa demi survival politik, parti itu perlu bangkit dalam keadaan bermaruah dan tidak diperbudakkan oleh parti hingusan seperti Bersatu.

“Tapak UMNO masih kukuh, mereka ada masa untuk reboot dan kembali berpencak di medan demokrasi untuk membetuli keadaan.

“Tidak masuk akal untuk kekal disumpah ‘sial sheraton’ sedangkan DSAI berusaha keras membuangnya. Negara memerlukan MP-MP untuk membentuk satu majoriti yang lebih kukuh dan kerajaan yang stabil dengan sokongan rentas kepartian,” kata Mujahid.

Bagaimanapun katanya, ketika ini hanya ego UMNO sahaja yang menghalang parti itu untuk keluar dari sumpahan kerajaan PN.

“Ego terbesar UMNO setakat ini ialah ‘tiada DAP’ walaupun UMNO tahu tulahan Sheraton lebih memudaratkannya dan berpotensi merosakkan negara.

“Apalah ego itu jika dibandingkan survival UMNO yang semakin hari didesak oleh kepimpinan dan akar umbi untuk tinggalkan kerajaan PN. UMNO ada ego politiknya, antara lain ego BNnya dan ego MNnya dan ego ‘No DAP’,” pujuk Mujahid.-SM

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button