BeritaEkonomi

Sedia atau tidak, 5G pasti datang

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Malaysia mahu beralih ke rangkaian 5G tahun depan, dan untuk itu telah melancarkan demonstrasi besar-besaran projek 5G di seluruh negara, menjadikan negara ini sebagai antara yang pertama di Asia memanfaatkan teknologi itu.

Penggiat industri juga selari dengan pendekatan kerajaan yang pragmatik menerusi sokongan padu selain pelaburan – membuktikan komitmen industri ke arah mewujudkan penggunaan yang kukuh dan berdaya maju untuk aplikasi 5G, yang akan mengubah pelbagai industri serta meningkatkan taraf hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

September lepas, pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Al-Ishsal Ishak mengumumkan bahawa lapan syarikat komited untuk membuat pelaburan awal sebanyak RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Syarikat-syarikat ini terdiri daripada Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan UMobile Sdn Bhd.

Pada 15 Dis pula, SKMM berkata enam syarikat telekomunikasi yang menjalankan projek demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi, mula menunjukkan hasil yang sangat baik dengan 37 kes penggunaan dalam bidang pertanian, penjagaan kesihatan digital, pendidikan, hiburan, bandar pintar, pengangkutan pintar dan sektor pelancongan.

Kerajaan memperkukuh lagi aspirasinya untuk mengembangkan ekosistem digital Malaysia dengan memperkenal geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta menerusi Belanjawan 2020 untuk menggalakkan inovasi teknologi di negara ini.

Geran itu akan memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk menceburi pembangunan 5G, meneruskan inovasi serta mecetuskan permintaan dari seluruh negara.

Selain itu, kerajaan secara rasminya melancarkan Pelan Penyambungan Fiber Nasional (NFCP) lima tahun pada 19 Sept yang bermatlamat untuk meningkatkan kualiti Internet dan menyediakan sambungan mampu milik kepada pengguna luar bandar.

NFCP bermatlamat merapatkan jurang digital luar bandar, memandangkan penyedia perkhidmatan sedia ada secara umumnya enggan melabur dalam infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar, kerana kos yang tinggi disebabkan cabaran seperti kawasan yang tidak teratur dan penempatan yang berselerak.

Oleh itu, SKMM mewujudkan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang bertujuan untuk merapatkan jurang digital dengan menyediakan akses secara kolektif dan individu kepada perkhidmatan telefoni asas dan Internet di seluruh negara.

USP bertindak sebagai mekanisme untuk menyalurkan pelaburan sektor swasta ke kawasan luar bandar yang tidak menguntungkan, dan inisiatif ini hanya dapat dilaksanakan di kawasan yang kurang mendapat perhatian dan kumpulan di kawasan terpencil.

Perkhidmatan 5G mulai separuh kedua 2020

Menurut Maybank IB Research, penugasan 5G sedang berjalan mengikut pelan, dengan butiran mengenai kelulusan spektrum dan model penggunaan dijangka diumumkan pada Januari 2020.

“Pengawal selia mengekalkan sasarannya bahawa 5G akan digunakan mulai separuh kedua tahun depan yang bermakna risiko perbelanjaan modal 5G akan mula dilihat pada 2020, bukannya 2021.

“Kami menjangkakan risiko secara relatifnya boleh diurus, memandangkan kemungkinan akan ada peningkatan dalam perkongsian infrastruktur,” katanya.

Celcom Axiata Bhd dan Maxis Bhd menandatangani memorandum persefahaman untuk meneroka potensi perkongsian yang memberi tumpuan kepada penggunaan bersama infrastruktur 5G di kawasan terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Idham Nawawi berkata potensi kerjasama itu akan membuka jalan bagi penyambungan rangkaian 5G bertaraf dunia, selain rangkaian 4G dan 3G / 2G sedia ada.

Beliau berkata kerjasama antara syarikat-syarikat telekomunikasi akan menjadi kaedah pelaksanaan dalam industri untuk meneroka penembusan 5G yang lebih teratur di Malaysia.

Huawei Technologies Malaysia juga memain peranan proaktif dalam perkhidmatan ini dengan menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan seperti U Mobile Sdn Bhd dan Maxis Bhd bagi pelaksanaan rangkaian perkhidmatan 5G di Malaysia.

Persaingan berterusan

Menurut penganalisis Ambank Research, Alex Goh, pelancaran NFCP itu dijangka menelan kos RM21.6 bilion – dengan sehingga 60 peratus mungkin dibiayai oleh dana USP MCMC yang kini berjumlah RM8 bilion.

Antara sasaran NFCP adalah untuk melaksanakan pakej permulaan pada kadar satu peratus daripada pendapatan negara kasar.

Ini bermakna hanya RM40 sebulan, iaitu separuh daripada pakej Unifi Basic TM yang kini berharga RM79/bulan untuk data 60GB, Celcom RM80/bulan untuk 30Mbps, Maxis RM89/bulan untuk 30Mbps, Time dotCom RM99/bulan pada 100Mbps dan Digi RM99/bulan dengan 50Mbps.

“Oleh itu, kerajaan mungkin mengkaji menurunkan lagi harga jalur lebar tahun depan, yang akan memberi impak negatif ke atas trajektori pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) pemilik rangkaian jalur lebar seperti TM dan Time dotCom,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan prospek ’neutral’ ke atas sektor telekomunikasi, memandangkan keperluan perbelanjaan modal NFCP dan 5G yang semakin meningkat di tengah-tengah sasaran pengurangan ARPU oleh kerajaan.

Ambank Research berkata ia kekal berhati-hati mengenai kemungkinan peningkatan yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam keperluan operasi dan modal memandangkan pengendali perlu menaik taraf infrastruktur rangkaian mereka untuk pelancaran 5G.

Bagaimanapun, saranannya ke atas sektor itu boleh dinaikkan berdasarkan prospek penyatuan yang diperbaharu dalam kalangan enam pengendali selular utama semasa.

Penggabungan itu boleh menjurus kepada persaingan harga mudah alih yang sederhana, penangguhan pelan SKMM untuk mengurangkan harga jalur lebar tahun depan dan penguncupan ketara kos operasi berikutan peningkatan perkongsian infrastruktur dalam kalangan pengendali.

Kegagalan penggbungan mega syarikat telco

Untuk 2019, kesatuan yang disebut-sebut bakal menjadi juara global industri telekomunikasi, berakhir selepas Axiata Group Bhd dan Telenor SA Norway menolak cadangan penggabungan pada awal September.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Axiata dan Telenor SA Norway mengumumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perbincangan mengenai gabungan bukan tunai dari aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia.

Sebelum itu, pada 6 Mei, Axiata mengumumkan di Bursa Malaysia bahawa kedua-dua gergasi telekomunikasi itu dijangka mewujudkan juara baharu global berikutan perbincangan untuk menggabungkan operasi Asia mereka di bawah entiti global yang baharu – MergedCo – dengan Telenor memegang 56.5 peratus pemilikan dan 43.5 peratus oleh Axiata.

Secara keseluruhan, MergedCo dijangkakan mempunyai pendapatan proforma lebih daripada RM50 bilion dan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai & Pelunasan (EBITDA) lebih daripada RM20 bilion.

— BERNAMA

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button