Politik

Anwar: kenyataan minta presiden PKR mohon maaf tidak benar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan kenyataan sekumpulan 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang mendesak beliau memohon maaf susulan pemecatan Zakaria Abdu Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Anwar berkata beliau menyedari bahawa terdapat satu kenyataan yang ditandatangani oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu tetapi isi kandungan dalam kenyataan itu bukan semua yang betul.

Menurutnya, beliau telah dihubungi beberapa pemimpin termasuk naib presiden, Tian Chua dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, yang memberitahu bahawa kenyataan itu hanya meminta lembaga disiplin meneliti semua keputusan pemecatan dua ahli parti dan bukan mendesak presiden untuk memohon maaf.

“Ini bermakna dalam kenyataan itu juga dipermainkan dan saya tidak tahu siapa yang menyebarkan itu. Tetapi saya berpandangan bahawa lembaga disiplin harus meneliti pemecatan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Tamadun Islam Konfusianisme, di Gorge Town, hari ini.

Beliau berkata desakan supaya presiden memohon maaf adalah sebahagian isi kandungan yang tidak benar dalam kenyataan tersebut.

Turut hadir dalam dialog itu termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Terdahulu, dalam satu memo kepada Lembaga Displin PKR, kesemua 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR termasuk Mohamed Azmin, sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Dalam laporan Isnin lepas, Zakaria, yang merupakan Ketua Cabang PKR Bera dan seorang ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi, dipecat daripada PKR berkuat kuasa 24 Nov atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lepas.

Sementara itu, Saifuddin turut mendedahkan isi kandungan laporan komprehensif dari SPRM yang bertarikh 23 Okt lalu, dengan perakuan Timbalan Pendakwaraya SPRM.

“Pandangan SPRM tindakan Zakaria dan Ismail adalah merupakan satu kesalahan. SPRM dalam perakuannya berkata setelah meneliti kes ini dan mengambil kira kepentingan awam memperakukan supaya Zakaria dan Ismail diambil tindakan sewajarnya mengikut kod tatatertib parti,” katanya.

Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, juga menolak dakwaan bahawa insiden ini akan mencemari Kongres Nasional PKR 2019 yang dijadualkan berlangsung di Melaka pada 6 hingga 8 Disember depan. – BERNAMA

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button