Hiburan

Aisar Khaled ambil kesempatan perkenalkan baju melayu Elrah ke Indonesia

PEMPEGARUH media sosial yang semakin dikenali di Indonesia, Aisar Khaled terus mencipta nama dalam industri fesyen apabila dilantik sebagai duta Elrah Exclusive bagi tahun 2025 dengan pengaruh yang kian berkembang, terutamanya di negara itu, Aisar melihat ini sebagai peluang untuk memperkenalkan Baju Melayu ke pasaran negara jiran.

Melalui peranannya sebagai duta, beliau berharap usaha ini dapat mengangkat pakaian tradisional Malaysia ke peringkat lebih tinggi dan diterima baik oleh masyarakat di sana.

“Apabila dilantik sebagai duta, saya melihat ini sebagai peluang untuk menggunakan pengaruh di Indonesia bagi mempromosikan Baju Melayu, pakaian kebangsaan Malaysia. Jenama Elrah sudah cukup dikenali di Malaysia, dan ini masa yang sesuai untuk melebarkan sayap ke Indonesia,” katanya.

Dengan anggaran 10 juta pengikut dari Indonesia, Aisar mengakui memikul tanggungjawab besar sebagai figura awam yang membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Saya akui ada tekanan kerana perlu menjaga imej dan memberikan contoh yang baik. Sebagai seorang public figure, saya harus menampilkan karakter yang positif dan profesional,” tambahnya.

Berkongsi mengenai pemilihannya sebagai duta, Aisar meluahkan rasa gembira dan teruja dengan peluang yang diberikan oleh Elrah Exclusive.

“Jujur saya katakan, banyak jenama menawarkan peluang kepada saya, tetapi saya memilih Elrah kerana ia mempunyai nilai eksklusif yang tersendiri. Ia bukan hanya soal bayaran, tetapi lebih kepada nilai yang ditawarkan oleh jenama ini,” jelasnya.

Lebih menarik, Aisar pernah menjadi ejen dan dropship Elrah Exclusive ketika berusia 18 tahun sebelum akhirnya terpilih sebagai duta jenama itu.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki daripada Allah. Dari seorang ejen kecil, kini saya menjadi duta utama Elrah Exclusive. Ini membuktikan bahawa usaha dan kesetiaan dalam satu jenama boleh membawa kejayaan,” katanya.

Elrah Exclusive, sebuah jenama fesyen terkenal Malaysia yang sinonim dengan pakaian tradisional Melayu, terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri dengan melantik Aisar sebagai duta untuk tahun 2025. Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan pengaruh jenama dalam pasaran tempatan, tetapi juga membuka peluang untuk menembusi pasaran Indonesia dengan lebih agresif.

Menurut Aisar, masyarakat Indonesia lebih cenderung memakai jubah dan kurta ketika sambutan Aidilfitri, berbanding Baju Melayu.

“Saya ingin membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan mempopularkan Baju Melayu di Indonesia. Saya percaya kehadiran Elrah Exclusive boleh mencipta fenomena baharu dalam gaya berpakaian masyarakat di sana,” katanya.

Menjadi wajah kepada jenama terkenal bukanlah tugas yang mudah. Aisar menyedari tanggungjawab yang digalasnya bukan sahaja terhadap Elrah Exclusive tetapi juga kepada imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sebagai duta, saya bukan hanya mempromosikan jenama, tetapi juga membawa identiti budaya Malaysia. Oleh itu, saya perlu sentiasa menjaga imej dan memberikan contoh terbaik kepada peminat serta pengikut saya,” ujarnya.

Walaupun menerima banyak tawaran daripada pelbagai jenama, Aisar menegaskan bahawa pemilihannya terhadap Elrah Exclusive bukan semata-mata kerana wang.

“Saya memilih jenama ini kerana ia mempunyai nilai yang saya percaya. Selain itu, Elrah Exclusive bukan sekadar perniagaan tetapi juga satu platform yang membantu orang ramai, termasuk ejen dan stokis, untuk menjana pendapatan,” katanya.

Pelantikan Aisar Khaled sebagai duta melengkapkan senarai duta berprofil tinggi yang pernah bekerjasama dengan Elrah Exclusive sebelum ini, termasuk pelakon terkenal seperti Beto Kusyairy dan Sharnaaz Ahmad, serta personaliti berpengaruh seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Dengan gabungan duta-duta ini, Elrah Exclusive terus menunjukkan komitmennya dalam memperkasakan jenama dan memperluaskan pasaran, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Apabila kita berkongsi rezeki dengan orang lain, pintu rezeki kita akan lebih luas. Saya berharap dengan peranan ini, saya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk berjaya dalam industri perniagaan fesyen,” kata Aisar.

Dengan dedikasi dan pengaruh yang semakin berkembang di Indonesia, tidak mustahil Elrah Exclusive akan terus mencipta fenomena baharu dalam industri fesyen serantau.

Artikle Berkaitan :>

Netizen dakwa Aisar Khaled kaki kencing

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button