Ekonomi

Pembayaran BKM bermula 28 Mac

KUALA LUMPUR: Kira-kira 8.6 juta individu akan menerima bantuan kewangan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) fasa 1 yang akan disalurkan antara 28 Mac dan 8 April.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka akan menerima antara RM100 dan RM300 setiap seorang bergantung kepada kelayakan mereka.

Penerima katanya akan terdiri daripada 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tanpa pasangan) dan 3.4 juta individu bujang lain.

“Setiap penerima akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 28 Mac (Rabu), dengan jumlah peruntukan RM2 bilion.

“Ia juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutama dalam persiapan menghadapi Ramadan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bantuan bayaran untuk isi rumah, warga emas dan individu bujang, akan dikreditkan ke akaun bank mereka.

Sementara itu, bantuan tunai untuk individu tanpa akaun bank akan dibuat mulai 30 Mac ini melalui Bank Simpanan Nasional, jelasnya.

Beliau berkata sebarang rayuan boleh dikemukakan dalam tempoh sebulan mulai 2 Mei, bagi memastikan mereka yang layak daripada kumpulan sasar akan mendapat manfaat daripada program BKM.

“Ini bagi mempertimbangkan semula permohonan yang ditolak, dengan membenarkan pemohon mengemukakan rayuan berserta dokumen yang diperlukan untuk disahkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Kerajaan sentiasa berwaspada dengan keperluan semasa dan akan terus komited untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutama golongan sasar,” katanya.

Ismail Sabri berkata BKM adalah inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk membantu golongan B40.

Status kelulusan BKM boleh disemak di laman web https://bkm.hasil.gov.my mulai 28 Mac.

 

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button