
AirAsia Hiasi Pesawat Dengan Tema Kewartawanan, Penghormatan Buat Wartawan Tempatan
KUALA LUMPUR, 14 Jun 2025 – Dalam satu inisiatif bersejarah sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia bakal memperkenalkan sebuah pesawat dengan reka bentuk khas bertemakan dunia kewartawanan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengumumkan perkara itu dalam majlis perasmian HAWANA 2025, sambil memaklumkan bahawa idea tersebut mendapat sokongan penuh daripada Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.
“Tan Sri Tony telah bersetuju mencadangkan agar salah satu pesawat AirAsia dihiasi dengan reka bentuk istimewa yang memaparkan berita-berita penting yang pernah disiarkan oleh media tempatan. Ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada profesion kewartawanan dan sumbangan besar pengamal media kepada negara,” kata Fahmi.
Tambah beliau, pesawat berkenaan bukan sahaja akan menjadi simbol penghargaan, tetapi juga berperanan membina rasa bangga dalam kalangan rakyat terhadap sumbangan wartawan tanah air.
Pesawat bertema kewartawanan itu dijangka dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat dan bakal menjadi lambang visual komitmen negara terhadap kebebasan bersuara dan kepentingan media sebagai tiang keempat demokrasi.