Nasional

AirAsia guna sistem kredit, bukan bayaran balik tunai

AirAsia meminta para pelanggan menerima sistem kredit dan bukannya bayaran balik bagi penerbangan yang dibatalkan kerana penularan wabak Covid-19.

Pemilik AirAsia Tony Fernandez berkata, lebih 80 peratus pelanggan menerima kredit sebagai alternatif.

“Kami benar-benar menghargainya,” katanya sambil menambah perkara itu juga dilakukan oleh ramai pengusaha dalam industri pelancongan.

“Ia mencerminkan tumpuan kami untuk keluar dari masa yang sukar ini dan terbang lagi bersama anda secepat mungkin.

“Kami memastikan bahawa kami mematuhi semua peraturan dan keperluan kerajaan dan pihak berkuasa dan percaya ini adalah penyelesaian terbaik,” katanya dalam kenyataan media.

Tony berkata kredit berkenaan adalah sah selama 365 hari dan tarikh penerbangan boleh ditukar tanpa had masa.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah pelanggan yang mahukan bayaran balik meningkat dan proses itu mungkin mengambil masa antara 12 hingga 16 minggu.

Tony berkata, AirAsia tidak mempunyai pendapatan kerana 96 peratus pesawatnya tidak dapat melakukan penerbangan dan syarikat itu masih mempunyai komitmen kewangan seperti membayar pembekal bahan api.

Beliau berkata syarikat itu melakukan segala yang mungkin untuk mengurangkan kos pada masa ini.

“Kami adalah salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan di dunia yang akan terus menjaga kakitangan kami.

“AirAsia adalah seperti sebuah keluarga dan terdapat puluhan ribu yang bergantung kepada perniagaan ini untuk mencari nafkah demi kesejahteraan keluarga kami,” katanya.

Tony berkata beliau dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd (AAGB) Kamarudin Meranun akan melepaskan gaji mereka, sementara kakitangan AirAsia perlu menerima pengurangan gaji dari 15 peratus kepada 75 peratus buat sementara waktu.

“Saya mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka memahami perkara ini dalam mengharunginya bersama,” katanya. – SM

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button