Ekonomi

AirAsia Group perkukuh perkhidmatan kargo dengan integrasi digital oleh Freightchain

Syarikat penerbangan di bawah AirAsia Group memperkukuh perkhidmatan kargonya di rantau ini dengan menyediakan ruang kargo dalam penerbangannya di Freightchain, rangkaian digital pertama di dunia untuk kargo udara menggunakan lejar teknologi blok rantai (blockchain).

Perkhidmatan kargo AirAsia dikendalikan oleh syarikat logistiknya, Teleport, pemilik Freightchain yang menyediakan platform ini untuk meningkatkan perkhidmatan kapasiti kargo penerbangan AirAsia dan syarikat penerbangan lain. Melalui Freightchain, AirAsia kini dapat mengintegrasikan penerbangannya dengan syarikat penerbangan lain secara digital, seterusnya mempercepatkan perkhidmatannya melalui rangkaian penerbangan yang tersedia dan meningkatkan permintaan penghantaran kargo ke seluruh Asia Tenggara dan lain-lain.

Rangkaian digital ini juga menawarkan manfaat yang besar kepada pelbagai perniagaan dalam industri kargo seperti pengeksportan, pengimportan dan pengangkutan barang, kerana integrasi secara digital bukan sahaja dapat memudahkan proses dan meningkatkan kecekapan malah menjimatkan kos.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Kami terus berinovasi dalam perniagaan kargo dan penyenaraian AirAsia di Freightchain memperkukuh lagi matlamat kami untuk menjadi sebuah syarikat kargo digital yang terkemuka di rantau ini, dengan menyediakan perkhidmatan terbaik melalui rangkaian penerbangan komprehensif dengan kos rendah.

“Kebolehan untuk memaksimumkan pendapatan kargo melalui proses integrasi secara digital ini adalah satu inovasi dalam industri kargo. Freightchain menghubungkan syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang menawarkan peluang pendapatan dan menyediakan penyelesaian rangkaian tanpa had kepada syarikat penghantaran. Semua penerbangan kami di bawah AirAsia Group kini disenaraikan di Freightchain, dan kami mengalu-alukan syarikat penerbangan lain untuk mendaftar bagi mengembangkan rantaian bekalan kargo secara digital.

“Penggunaan kapasiti penerbangan komersial berjadual sering kali kurang daripada 100% dan kadang-kala hanya sekitar 50%. Freightchain menyediakan peluang besar bagi syarikat penerbangan untuk mengisi ruangan kargo pesawat mereka dengan lebih mudah dan efisien, supaya kapasiti ruangan kargo mereka sentiasa penuh. Kerjasama dengan Freightchain juga membuka peluang kepada kami untuk mengembangkan perkhidmatan penghantaran kargo ke destinasi di luar rangkaian kami.

“Transformasi digital kami kepada lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan kini semakin kuat. Dari segi kargo dan logistik, kami telah menubuhkan Teleport yang akan menggunakan ruang kargo bukan sahaja bagi penerbangan AirAsia, tetapi juga bagi syarikat penerbangan lain. Ini memberikan sinergi yang lebih baik bagi perniagaan kami dan membolehkan perkhidmatan penghantaran kargo ke destinasi di luar rangkaian kami, seperti Moscow dan Brussels.”

Freightchain menggabungkan jadual penerbangan kargo udara secara digital melalui carian, tempahan dan pengurusan laluan untuk menghantar kargo ke pelbagai destinasi. Proses tempahan dalam talian juga menjadikannya lebih lancar, pantas, dan mudah kerana para pelanggan tidak perlu melalui proses tradisional yang melibatkan kontrak dan perjanjian manual.

Penggunaan lejar teknologi blok rantai (blockchain) oleh Freightchain juga membolehkan syarikat penerbangan menguruskan tempahan penghantarannya sendiri, daripada melengkapkan butiran penghantaran sehingga menjadualkan semula perkhidmatan. Proses pembayaran dan penyelesaian juga dipermudahkan dan terjamin dengan pelbagai cara termasuk melalui tambah nilai e-wallet, kad kredit dan penangguhan pembayaran. Kini, Freighchain telah pun mendaftar 10 buah syarikat penerbangan termasuk ejen dan syarikat penghantaran mereka, serta semua syarikat penerbangan di bawah AirAsia group yang berpusat di Asean.

Ingin menempah ruang kargo anda dalam talian? Layai https://freightchain.world untuk maklumat lanjut. – SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button