Sukan

Medan pelayar negara hadapi Olimpik 2020

EMPAT pelayar negara yang sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan menyertai beberapa kejohanan pemanas badan di luar negara sebagai persediaan menghadapi temasya sukan terbesar dunia berkenaan, dijadualkan Julai nanti.

Jurulatih pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah berkata, pemilihan kesemua kejohanan berkenaan berdasarkan pergerakan pelayar terbaik dunia yang sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik.

Beliau memaklumkan pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy akan menyertai Kejohanan Laser Standard Lelaki Dunia dari 9-16 Feb ini, manakala Nur Shazrin Mohd Latif akan beraksi pada Kejohanan Laser Radial Wanita Dunia dari 21-26 Feb.Kedua-dua kejohanan berlangsung di Melbourne, Australia.

“Selepas berakhirnya saingan di Australia, kesemua pelayar kelas Laser akan berkumpul di benua Eropah. Di sana, kami akan menyertai beberapa kejohanan, antaranya kejohanan jemputan di Palma, Sepanyol, pusingan ketiga Siri Piala Dunia di Genoa, Itali pada April sebelum kembali semula ke tanahair.

“Skuad pelayaran negara akan pergi ke Greece untuk menyertai Kejohanan Laser Senior Eropah pada Mei nanti, sebelum terus ke Tokyo untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat ‘post-mortem’ Sukan SEA 2019 bersama wakil Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia di sini, hari ini.

Selain Khairulnizam dan Nur Shazrin yang sudah menempah tiket ke Tokyo, masing-masing dalam acara Laser Standard dan Laser Radial, Malaysia mempunyai satu lagi wakil ke Sukan Olimpik iaitu gandingan Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dalam kelas International 470 wanita.

Dalam pada itu, Mohd Afendy optimis pelayar wanita negara, Geh Cheow Lin mampu meraih keputusan positif dalam acara luncur angin wanita Kejohanan Luncur Angin Asia RSX di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 15-21 Mac ini.

Kejohanan berkenaan merupakan peluang terakhir bagi pelayar Asia dalam kelas RSX untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2020.

Acara pelayaran Sukan Olimpik 2020 bakal berlangsung di Enoshima Yacht Harbor di Wilayah Kanagawa dari 27 Julai sehingga 6 Ogos ini. – BERNAMA

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button