Politik

Anthony Loke nafi dakwaan Hadi Awang wujud keretakan dalam kerajaan

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menepis dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlaku keretakan dalam kerajaan yang boleh menyebabkan ia tumbang sebelum penggalnya berakhir.

Beliau menegaskan tiada rancangan dari dalam untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi saya, Kerajaan Perpaduan hari ini kuat dan kukuh. Pemimpin tertinggi dalam setiap gabungan memberikan jaminan penuh dan kerjasama baik untuk menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

“Saya yakin tiada usaha antara mereka untuk melemahkan atau menjatuhkan kerajaan perpaduan,” katanya dalam sebuah program AirAsia di klia2 seperti mana dilaporkan FMT.

Beliau berkata, semua rakan kongsi gabungan mempunyai hubungan kerja yang baik dan mesra, serta “tidak bergaduh langsung” dalam mesyuarat minggu Jemaah Menteri yang fokus menyelesaikan masalah rakyat.

Setiausaha Agung DAP itu mengulas komen Hadi semalam ada tanda “tidak puas hati” dalam kalangan parti komponen yang membentuk kerajaan perpaduan.

Kerajaan Perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta mendapat sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan Bebas.

Anthony Loke berkata, walau pun Ahli Parlimen kerajaan bebas menyuarakan rasa tidak puas hati atau perbezaan pandangan. Ia tidak bermakna kerajaan akan tumbang.

Beliau juga mendakwa Hadi tidak bertanggungjawab dengan mengatakan pembangkang mahu merampas Putrajaya, selain menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional “tiada kerja lain”.

Semalam, Hadi memberitahu wartawan di Parlimen, pembangkang berusaha menjatuhkan kerajaan dan mereka mempunyai hak berbuat demikian.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Marang itu turut meramalkan pentadbiran Anwar akan tumbang “dalam masa terdekat” dan “atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah”. – SM

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button