fbpx
BeritaNasional

Air rasa kelat, loji rawatan di Kerian ditutup

Oleh A. Malek Asli

LOJI Rawatan Air (LRA) Jalan Baru di Kerian ditutup sementara akibat kualiti air yang merosot dan sukar untuk diproses.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, ini menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan seperti Parit Buntar, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau melibatkan 19,000 akaun pengguna.

Menurutnya, LRA Jalan Baru berkapasiti 50 juta liter sehari membekalkan air bagi tiga bandar utama Daerah Kerian, iaitu Parit Buntar, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Beliau berkata, sumber air mentah LRA diperolehi dari Terusan Besar yang disalurkan dari Tasek Bukit Merah.


Kata beliau, dalam keadaan tertentu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengepam air dari Sungai Samagagah iaitu anak Sungai Kerian ke dalam Terusan Besar melalui rumah pam Sungai Bogak dan jika perlu JPS akan mengepam air dari Sungai Kurau ke Terusan Besar.

“Sebaik saja menerima aduan, LAP telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca masalah dan seterusnya mengambil tindakan lanjut bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air yang berkualiti.

“Hasil siasatan mendapati kualiti air terusan telah merosot dan sukar untuk diproses,” katanya.

Menurut Abdul Yunus, LAP telah meminta kerjasama JPS untuk membuka pintu air di Pekan Batu 5 bagi membolehkan air terusan mengalir dan memulihkan kualiti air di dalam terusan di mana air mentah diperolehi.

Beliau berkata, sebagai langkah mitigasi, operasi loji telah diberhentikan buat sementara waktu sehingga kualiti air mentah kembali pulih.

Kata beliau, bagi kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Kuala Kurau, air disalur dari LRA Semanggol.

“Kawasan-kawasan lain yang terlibat air dibekalkan melalui lori-lori tangki bagi memastikan pelanggan menerima bekalan air yang selamat.

“Sehingga kini kualiti air mentah dipantau dan menunjukkan terdapat peningkatan kualiti.

“Loji akan beroperasi sebaik sahaja kualiti air terusan kembali normal,” katanya.

Sementara itu penduduk di beberapa kawasan di Parit Buntar mendakwa menerima bekalan air paip berwarna perang sejak seminggu lalu ekoran Kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru di sini yang merosot dan sukar untuk diproses.

Selain itu, penduduk juga mendakwa air paip berbau busuk dan warnanya tidak berubah walaupun setelah dimasak.

Seorang penduduk di Sungai Labu Atas, Sulaiman Ramli berkata, keadaan itu sudah berlaku sejak seminggu lalu.

Menurutnya, dia sendiri merasai air paip yang biasanya bersih bertukar menjadi rasa seperti kelat, berwarna perang dan berbau busuk.

“Walaupun dimasak, keadaan air tidak berubah dan ini dibimbangi membahayakan kesihatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati bekalan air bersih mulai dihantar kepada penduduk di kawasan yang mengalami gangguan bekalan air menggunakan lori tangki Lembaga Air Perak (LAP) sejak malam tadi.

– Perak Gazette

Show More

Related Articles

Back to top button