MahkamahNasional

Ain Husniza alami kejutan saraf bekas guru lakukan gangguan seksual

AIN Husniza Saiful Nizam dan bapanya berkata, bekas gurunya, yang didakwa membuat jenaka lucah di dalam kelas, melakukan gangguan seksual dan salah laku jenayah.

Dalam tuntutan balas mereka bagi menjawab saman fitnah bekas guru itu, mereka berkata, jenaka lucahnya mengakibatkan Ain mengalami “kejutan saraf”.

Saman fitnah itu difailkan oleh bekas guru di SMK Puncak Alam, Khairul Nizam Sanuddin susulan dakwaan Ain dalam video TikTok bahawa beliau berjenaka mengenai rogol di dalam kelas.

Menurut tuntutan balas yang difailkan di Mahkamah Sesyen Klang pada 4 Mac lalu, Ain dan bapanya berkata, saman fitnah guru itu bertujuan menutup kebenaran di sebalik kejadian itu.

Khairul Nizam; pengetua sekolah, Sarimah Mohammed Nor; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M Noh; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Mohd Radzi Jidin dan kerajaan dinamakan dalam tuntutan balas keluarga itu.

Ain dan bapanya mendakwa Khairul Nizam sedar tentang implikasi komennya dan berkata, dia sepatutnya lebih sensitif mengenai kesannya terhadap pelajar.

Mereka menegaskan, komen-komen sebegitu “membiasakan jenaka seksual dan rogol serta menggalakkan perbuatan rogol”.

Tingkah laku Khairul Nizam kata mereka, mengakibatkan Ain mengalami tekanan emosi dan kejutan saraf dan “jelas dan nyata serta dapat dijangka” bahawa jenaka seksual berkenaan akan memalukan pelajar terutamanya pelajar perempuan termasuk Ain.

Ain dan bapanya juga menyatakan pertikaian mereka adalah Khairul Nizam telah melakukan tort gangguan seksual terhadap Ain walaupun sedar bahawa peranannya sebagai guru memerlukan “tahap kesopanan, kesusilaan, sensitiviti jantina dan hemat” yang tinggi.

Mereka turut menuduh guru itu atas salah laku jenayah termasuk pelanggaran beberapa peruntukan Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mereka menuntut ganti rugi am, khas, pampasan, teruk dan teladan serta faedah tahunan 5% ke atas ganti rugi yang akan diputuskan, dikira dari tarikh pemfailan mereka sehingga penyelesaian.

Saman guru tersebut dan tuntutan balas Ain dan bapanya ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Klang pada 21 Mac nanti.

Khairul Nizam diwakili peguam daripada firma guaman Rasshidi Ema & Yung manakala Ain dan bapanya diwakili oleh SN Nair & Partners. – SM

 

(Visited 922 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button