Politik

Setelah Saksikan Pelbagai Ragam, Yakinlah UMNO & BN Wadah Politik Untuk Malaysia!

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua ahli parti yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara.

Kata Pengerusi BN itu, sebagai parti perjuangan UMNO/BN mampu melahirkan ramuan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada terus menggelongsor potensinya.

Menurutnya lagi, rakyat telah melalui pengalaman dua kerajaan terdahulu iaitu satu 22 bulan dan satu lagi 17 bulan serta dapat menyaksikan sendiri karenah semua parti yang pernah menjadi kerajaan dalam tempoh hampir empat tahun ini.

“Kita mewarisi kemerosotan ekonomi negara dari kerajaan gagal dan tipu sebelum itu, kesengsaraan hidup rakyat jelata, menyempitnya ruang buat generasi muda untuk mengembangkan potensi mereka, penjarahan dan penjualan khazanah negara.

“Institusi perundangan menjadi alatan penguasa, kerukunan hidup berbilang bangsa diselubungi syak wasangka, pendidikan anak bangsa hilang pedomannya, negara tetangga dan seluruh dunia makin jauh meninggalkan kita yang menuntut setiap daripada kita untuk mendirikan semula keruntuhan yang ada.

“Dengan sebab itu dalam kita hendak mendirikan semula keruntuhan yang berlaku dan memberikan nafas baharu kepada citra negara, kecekalan, kesungguhan, kemampuan dan keyakinan perlu ada pada setiap daripada kita dan juga rakyat yang mengharapkan pembelaan dari UMNO dan BN,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian di dalam ucapan dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, UMNO dan BN mampu menawarkan jalan keluar yang tuntas akibat kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mengurus ekonomi negara dengan baik di mana berlaku aliran keluar modal asing atau ‘capital flight’ yang cukup besar dan negara menyaksikan pengaliran keluar bersih modal atau ‘net capital out flow’ sebanyak RM166.1 bilion selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sehingga kini.

“Pemberhentian operasi syarikat asing di negara ini dan perpindahan operasi ke negara jiran, memperlihatkan merosotnya keyakinan pelabur kepada negara kita. Maka dengan sebab itu, kita perlu ada kemampuan menyusun semula strategi untuk menarik kembali pelaburan luar ke negara ini.

“Dengan strategi dan jalinan hubungan baik dengan negara-negara luar, kita yakin akan dapat melonjakkan semula pelaburan asing di negara ini yang kesannya bukan sahaja merancakkan kembali kegiatan ekonomi tetapi jauh lebih penting limpahan kerancakan tersebut sudah pasti dinikmati rakyat secara langsung melalui wujudnya peluang pekerjaan dan wujudnya rantaian perniagaan.

“Di samping itu, sektor-sektor pertumbuhan baharu juga perlu dikenalpasti untuk meningkatkan peluang guna tenaga anak-anak muda kita,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga berkata seluruh pendukung parti harus mempunyai kekuatan untuk mempertahankan perjuangan membela nasib ummah dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Cekal menghadapi apa jua cabaran yang mendatang, kerana kita yakin dengan matlamat dan hala tuju perjuangan. Biar menderu fitnah dan mehnah yang dilemparkan, tidak goyah pegangan kita untuk terus melangkah ke hadapan.

“Biar ada yang celupar mengatakan UMNO sudah mati dan telah masuk longkang, tetapi dengan kecekalan kita bangkit semula menempa beberapa siri kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), Alhamdulillah.

“Kecekalan perlu disusuli dengan kesungguhan. Jangan mudah berputus asa. Bersungguhlah kita dalam menabur khidmat dan jasa. Pastikan keberadaan kita di tengah-tengah persada rakyat dapat dirasai. Berkhidmat dan berbakti bukan sesuatu yang asing buat kita. Inilah kekuatan UMNO selama ini yang dinikmati oleh rakyat seawal usia,” ujarnya. – UMNO ONLINE

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button