
AI Summer Camp 2025 Perkasa Literasi Kecerdasan Buatan Pelajar Sekolah & TVET
ARAU, 4 Julai 2025 – Hampir 300 pelajar sekolah rendah dan pusat latihan TVET dari seluruh Perlis dan zon utara menyertai AI Summer Camp TVET Se-Malaysia 2025, yang berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau bermula 1 Julai lalu.
Program anjuran Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek secara langsung, yang bertujuan meningkatkan daya saing serta kreativiti pelajar dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Menurut Pengarah Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin Hussin, kajian pasca-program AI Summer Camp peringkat universiti di tiga zon tahun lalu menunjukkan peningkatan ketara dalam kefahaman AI dalam kalangan pelajar.
“Ini membuktikan bahawa pendekatan langsung dalam pembelajaran AI mempercepatkan literasi teknologi dan kemahiran inovasi dalam kalangan pelajar,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penutup program tersebut.
Majlis penutup disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja FCoEE. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir menyambut keberangkatan baginda ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.
Sebanyak 23 politeknik dan kolej komuniti zon utara serta 29 sekolah rendah di seluruh Perlis mengambil bahagian dalam program kali ini. AI Summer Camp dijadual diteruskan ke Zon Timur di Politeknik Kota Bharu, Kelantan dan Zon Tengah di Politeknik Bagan Datuk, Perak.