Berita

AI dan Media, Wartawan Tetap Relevan, Mesin Tak Ganti Manusia

PEWARTAAN Akta Majlis Media Malaysia 2024 dilihat sebagai langkah bersejarah dalam usaha memperkukuh integriti dan profesionalisme media tempatan, menurut Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong.

Beliau berkata, kewujudan akta ini bukan sahaja memberi ruang kepada industri media untuk mengawal selia secara kendiri, malah memperkukuh kepercayaan orang ramai terhadap kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.

“Kita akhirnya menyaksikan pelaksanaan akta yang sekian lama dinanti-nantikan. Ini akan meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara lain yang telah lama mengamalkan kawal selia kendiri dalam bidang media,” katanya ketika berucap dalam Forum Media sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di WTCKL hari ini.

Akta tersebut diluluskan di Parlimen pada Februari lalu, dan kini menjadi asas penubuhan sebuah majlis media yang akan bertindak sebagai badan pemantau serta penasihat kepada pengamal media seluruh negara.

Datuk Yong turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching, serta mantan Menteri Komunikasi Gobind Singh Deo atas usaha gigih mereka dalam merealisasikan penggubalan undang-undang berkenaan.

AI Bukan Pengganti Wartawan

Dalam sesi forum bertajuk “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?”, Datuk Yong turut menekankan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri media perlu ditangani dengan bijak.

“AI tidak akan mampu menggantikan wartawan. Ia hanya alat sokongan. Nilai manusia dalam pemberitaan — seperti pertimbangan, penyiasatan mendalam, dan sensitiviti terhadap isu — tidak boleh ditiru oleh mesin,” ujarnya.

Beliau menyeru agar pemain industri tidak hanya mengejar kemajuan teknologi, sebaliknya terus mempertahankan elemen kemanusiaan dalam penyampaian maklumat dan berita.

Forum Rintis Peranan Majlis Media

Forum berkenaan menjadi platform penting kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia untuk menyampaikan aspirasi serta hala tuju mereka kepada pengamal media dan umum.

Sesi pertama forum bertemakan “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?” membuka ruang perbincangan mengenai cabaran, fungsi, dan harapan terhadap majlis baharu itu dalam landskap media moden.

HAWANA 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur turut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tengah hari tadi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button