Nasional

MAIPs gembleng usaha gilap potensi muallaf

MAIPs atau Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis menggembeleng usaha bersama pelbagai pihak bagi menggilap potensi golongan muallaf di negeri Perlis.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan majlis simbolik ‘Penyampaian Sumbangan Bantuan Muallaf MAIPs’ sempena kedatangan lebaran yang bakal menjelma tidak lama lagi di Galeri DiRaja Arau pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshee dan Eksekutif Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), Nurul Farhana Junaidi.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut baginda lagi, bakat dan potensi golongan muallaf perlu dikesan dan seterusnya digilap untuk menonjolkan kemampuan diri agar dapat memberikan sumbangan kepada agama, negeri dan negara.

Sementara itu, Mohd Nazim memaklumkan bahawa majlis itu melaksanakan inisiatif dan program berterusan untuk golongan muallaf. Antaranya Kelas Bimbingan anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Perlis dan kursus peningkatan ilmu anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) selain pelbagai program ilmu yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Selain itu, MAIPs turut menubuhkan One Centre Malaysia Perlis (OCM) bagi melaksanakan program silang budaya dan dialog harmoni untuk memberikan persepsi yang tepat dan baik berkenaan Islam.

Selain program seperti Dialog Harmoni dan Ziarah Perpaduan di rumah ibadat, OCM turut menganjurkan program Perkhemahan Muallaf Kebangsaan yang berlangsung pada Ogos 2019 yang lalu.

Tambah beliau lagi, selain menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 pada hari ini untuk tujuan sumbangan bantuan menyambut aidilfitri, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan melancarkan inisiatif edaran risalah penerangan asas agama Islam untuk ditempatkan di Masjid Negeri Arau, Masjid Alwi Kangar, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis dan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI). – SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button