Nasional

Ahmad Zahid mahu akhiri kebuntuan politik

KENYATAAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau tidak dapat menghalang mana-mana Ahli Parlimen UMNO dan BN yang mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bermakna Presiden UMNO itu menyokong Presiden PKR membenuk kerajaan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil berkata, keputusan Presiden UMNO semalam adalah suatu langkah yang bijak dan betul ke arah pembubaran Parlimen dan pelaksanaan pilihan raya umum baru secepat mungkin.

Tindakan Ahmad Zahid itu juga untuk mengakhiri kebuntuan dan ketidakstabilan politik dan ekonomi yang kita hadapi sekarang demi kepentingan rakyat dan negara.

“Pada saya, keputusan Presiden UMNO semalam untuk tidak menghalang mana-mana Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong sesiapa, sama ada menyokong Anwar atau menarik balik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional. Bukan bermakna beliau atau UMNO menyokong pembentukan kerajaan yang baru dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Sebab jika ahli-ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan daripada kerajaan atau menjadi berkecuali, maka Anwar masih tidak boleh jadi Perdana Menteri secara automatik,” kata Isham.

Menurutnya, reaksi rakyat dan pasaran terhadap pengumuman Anwar semalam adalah satu simptom yang menunjukkan hakikat bahawa kerajaan yang ada sememangnya tidak stabil dan boleh jatuh pada bila-bila masa.

Katanya, selagi tiada majoriti yang kukuh maka kerajaan mungkin akan bertukar tangan setiap enam bulan dan ketidakstabilan politik akan berterusan.

“Sesiapa pun yang jadi kerajaan dalam situasi ini tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi dan ia akan menerukkan lagi keadaan hidup rakyat.

“Sebab itu dari dahulu saya telah mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan untuk menyerahkan mandat semula kepada rakyat melalui pilihanraya supaya kerajaan baru yang lebih stabil dapat dibentuk,” kata Isham.

Semalam Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan UMNO dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata beliau, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN. Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar bagi menyatakan hasrat beliau,” katanya dalam kenyataan.

Anwar dalam sidang media khas semalam berkata, beliau yakin mempunyai sokongan majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.-SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button