Ekonomi

AirAsia kecualikan caj pertukaran penerbangan

AIRASIA akan mengecualikan caj pertukaran penerbangan untuk sebarang tempahan baharu yang dilakukan antara 3 Jun dan 31 Oktober 2020.

Dalam satu kenyataan, ia berkata pilihan itu disediakan untuk tempahan dalam talian di airasia.com bagi penerbangan domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan India.

“Penumpang boleh membuat perubahan tarikh penerbangan dalam jumlah yang tidak terhad melalui tab ‘Tempahan Saya’ di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, dan boleh menempah semula penerbangan mereka untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2020, bergantung pada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan), Bo Lingam berkata, susulan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berkaitan dengan keadaan kesihatan awam semasa dan sekatan perjalanan, pelan perjalanan mungkin berjalan lancar sepanjang tahun ini.

Syarikat penerbangan itu berkata, perubahan tarikh dan waktu penerbangan hanya sah sehingga 48 jam sebelum waktu berlepas yang asal dan hingga empat jam untuk AirAsia India.-BERNAMA

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button