Nasional

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi – saksi

SEORANG pegawai operasi sebuah bank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan pengasas Yayasan Akalbudi mengarahnya mengeluarkan wang berjumlah RM17,953,185.21 dalam akaun simpanan tetap yayasan itu bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co iaitu pemegang amanah yayasan berkenaan.

Narimah Miswadi, 47, yang bekerja di Affin Bank cawangan Jalan Bunus di sini berkata bekas timbalan perdana menteri itu juga mengarahnya menggunakan cek yang dikeluarkan oleh pihak bank (cek jurubank) bagi membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co.

“Semasa perjumpaan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Jun 2016 di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, beliau (Ahmad Zahid) juga ada memberitahu saya bahawa tujuan pengeluaran wang ini adalah untuk membina sebuah bangunan Yayasan Akalbudi di Bagan Datuk, Perak.

“Sejurus selepas perjumpaan tersebut beliau (Ahmad Zahid) telah mengarahkan pembantu peribadinya Mejar Mazlina untuk menyediakan satu surat kepada pihak bank bagi tujuan membuat pengeluaran ke atas akaun melalui banker’s cheque (cek jurubank) atas nama Messrs Lewis & Co pada 23 Jun 2016,” katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan hari ketiga kes Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Narimah berkata beliau memohon kelulusan daripada ibu pejabat (Affin Bank) agar yayasan itu boleh menggunakan cek yang dikeluarkan oleh pihak bank untuk membuat pembayaran kepada Messrs Lewis & Co.

“Pada 23 Jun 2016 saya telah menyerahkan surat yayasan tersebut kepada Juruwang Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Royasmin Mohd Roddy untuk menyediakan Borang Permohonan Kiriman Wang bagi menyempurnakan arahan Ahmad Zahid.

“Selepas Royasmin menyediakan Borang Kiriman Wang dan Banker’s Cheque, beliau (Royasmin) telah menyerahkan borang itu dan banker’s cheque (cek jurubank) tersebut kepada saya untuk disemak,” katanya.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada Ahmad Zahid ada memberitahu saksi itu untuk membina sebuah bangunan di Bagan Datuk, Narimah menjawab: “Ya”.

Ahmad Zaidi: Sebenarnya untuk membina tahfiz dan masjid di Bagan Datuk

Narimah: Tak ingat, seingat saya Bangunan Akalbudi di Bagan Datuk.

Narimah berkata pertemuannya dengan Ahmad Zahid adalah pertama kali dan ketika itu beliau berasa teruja dan gugup.

Ahmad Zaidi: Tak rasa nak tanya kenapa bayaran itu dibuat kepada Messrs Lewis & Co bukan kepada pemaju

Narimah: Pada masa itu, Datuk Seri Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri. Saya tak boleh menolak arahan itu.

Saksi itu juga berkata beliau tidak pasti bahawa Messrs Lewis & Co adalah pemegang amanah yayasan itu.

Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button