Nasional

Memandu dalam keadaan mabuk catat kesalahan tertinggi pada malam tahun baru

KESALAHAN memandu kenderaan dengan kandungan alkohol melebihi yang ditetapkan menjadi kesalahan tertinggi dicatatkan menerusi Operasi Ambang Tahun Baru yang diadakan kelmarin.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 63 individu ditahan atas kesalahan tersebut.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada malam itu juga, sebanyak 9,668 saman dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan serta menyita 87 buah kenderaan untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, sebanyak 21 individu turut ditahan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan dan 11 individu lagi ditahan mengikut Seksyen 108 APJ 1987

“Tiga lagi ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 (10 orang), Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 (empat orang), Akta Dadah Berbahaya 1952 (10 orang) dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (empat orang).

“Kesemua tangkapan yang dibuat pada malam itu berjumlah sebanyak 126 orang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, katanya operasi itu membabitkan 2,462 pegawai polis dengan kerjasama beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Objektif utama operasi tersebut ujarnya adalah untuk memberi fokus mengurangkan kadar kemalangan terutamanya kemalangan maut.

Tambahnya, operasi itu juga juga bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas selain mengawal ketenteraman trafik yang diselaraskan bersama prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). -SM

(Visited 600 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button